16
Rab, Sep

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN

MARITIM MALAYSIA 'KUNCI' PERAIRAN PERLIS, CUBAAN SELUDUP PATI TUMPAS

VESEL DITAHAN, GUNA MATA PUKAT KURANG 38 MILIMETER, TIADA DOKUMEN SAH

RPAS | MALAYSIA DAN AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENERUSI PEMETERAIAN MOU

VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

VE LAB BINCANG PEMBINAAN KOMPLEKS IBU PEJABAT MARITIM NEGERI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

KOTA KINABALU, 30 JANUARI – Projek pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini berada dalam pelaksanaan Value Engineering Lab (VE Lab) yang diadakan selama tiga hari bermula 26 hingga 29 Januari 2026 di Teluk Sepanggar.

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Bin Abd Majid @ Razali berkata, VE Lab ini berfungsi sebagai platform perbincangan teknikal komprehensif bagi menilai dan memperhalusi cadangan pelaksanaan projek.

“Melalui makmal ini, pelbagai alternatif reka bentuk, kaedah pembinaan, serta spesifikasi bahan diteliti secara terperinci bagi mendapatkan penyelesaian optimum dari segi kos, kecekapan pelaksanaan dan nilai jangka panjang projek tanpa menjejaskan fungsi dan kualiti asal,” jelas beliau.

Beliau menambah, pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara berhemah, mampan, dan memberi pulangan terbaik kepada negara.

VE Lab dikendalikan oleh Pengarah Pembangunan, Laksamana Pertama Maritim Zulinda Binti Haji Ramly turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta jabatan teknikal berkaitan.

Pelaksanaan VE Lab dijangka membolehkan perancangan dan pelaksanaan projek berjalan lebih teratur, cekap, dan lancar, sekali gus mengurangkan risiko pertambahan kos dan kelewatan projek.

Dapatan daripada makmal ini juga diharap dapat memperkukuh aspek fungsi operasi, keperluan logistik, serta kesiapsiagaan infrastruktur Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan keselamatan maritim di perairan Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Projek pembinaan ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkasakan keupayaan aset dan infrastruktur Maritim Malaysia, sejajar usaha memastikan keselamatan perairan negara dan kesejahteraan komuniti maritim terjamin.

 

VE LAB
 
VE LAB2
 
VE LAB3
 
VE LAB4

KUNJUNGAN HORMAT HAKIM BESAR SABAH DAN SARAWAK KE PEJABAT ZON MARITIM SANDAKAN

SANDAKAN, 30 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menerima kunjungan hormat daripada Yang Amat Arif Datuk Hajah Azizah binti Haji Nawawi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.

Ketibaan delegasi disambut oleh Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, bersama Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Ahmad Firdaus bin Shaari, serta warga Zon Maritim Sandakan.

Dalam kunjungan tersebut, perbincangan berfokus kepada kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi kehakiman, selain pertukaran pandangan mengenai isu-isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara.

Lawatan ini juga bertujuan memperkukuhkan hubungan profesional serta saling memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan keselamatan maritim, penguatkuasaan undang-undang, dan pemeliharaan kedaulatan perairan negara.

Majlis kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbol hubungan baik serta komitmen berterusan antara Maritim Malaysia dan institusi kehakiman.

KUNJUNGAN HAKIM BESAR SBH3
 
KUNJUNGAN HAKIM BESAR SBH2

KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DEFENCE ADVISER SINGAPURA

PUTRAJAYA, 29 JANUARI — Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menerima kunjungan hormat Defence Adviser, High Commission of Singapore, Colonel Ong Zi Xuan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Kunjungan tersebut merupakan platform penting bagi mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan maritim di perairan serantau.

Delegasi Singapura telah disambut oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, dengan perbincangan tertumpu kepada perkongsian pandangan, pertukaran maklumat serta potensi kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak bagi menangani cabaran keselamatan maritim, termasuk jenayah rentas sempadan dan keselamatan laluan perairan.

Turut hadir menyantuni delegasi ialah Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony, serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA), Komander Maritim Muzafira binti Mukholit.

Maritim Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan kerjasama dengan rakan strategik serantau bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kestabilan perairan negara terus terpelihara.

KH SINGAPORE2
 
KH SINGAPORE3
 
KH SINGAPORE5
 
KH SINGAPORE8

BENGKEL MOOT COURT TRIAL SIRI 2/2026 PERKUKUH KECEKAPAN PEGAWAI MARITIM MALAYSIA DALAM PENGENDALIAN PROSIDING MAHKAMAH

PORT DICKSON, 30 JANUARI – Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang (BUU) Maritim Malaysia telah menganjurkan Bengkel Moot Court Trial Siri 2/2026 bertempat di Avillion, Port Dickson, dari 26 hingga 30 Januari 2026.

Penganjuran bengkel merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasa kecekapan dan profesionalisme Pegawai Penguat Kuasa, khususnya dalam aspek pengendalian kes siasatan jenayah maritim serta pelaksanaan tanggungjawab sebagai saksi di mahkamah.

Bengkel menampilkan barisan penceramah berpengalaman dari Jabatan Peguam Negara merangkumi Timbalan Pendakwa Raya iaitu Puan Zilfinaz binti Abbas, Tuan Muhamad Safuan bin Azhar dan Tuan Christopher Enteri anak Mawan. Para penceramah telah berkongsi kepakaran berkaitan prosedur perbicaraan, pengurusan keterangan, etika saksi serta teknik penyampaian keterangan yang berkesan di mahkamah.

26 orang peserta telah menyertai bengkel ini, melibatkan Pegawai Penyiasat dan Pegawai Penangkap dari Maritim Negeri Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah, serta pegawai-pegawai BSJM. Penyertaan rentas negeri dan bahagian ini bertujuan memperkukuh keseragaman kefahaman serta penyelarasan pelaksanaan siasatan di peringkat lapangan.

Antara pengisian utama bengkel termasuk pendedahan terhadap prosedur prosiding mahkamah, kepentingan rantaian bukti (chain of custody), serta kaedah penyediaan dan penyampaian pernyataan saksi yang tepat, konsisten dan berintegriti. Penekanan turut diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang dan tatacara yang betul bagi memastikan kes yang dikendalikan dapat dibuktikan secara kukuh di mahkamah.

Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan simulasi perbicaraan (moot court) secara menyeluruh bagi membiasakan diri dengan suasana sebenar prosiding mahkamah. Latihan praktikal ini berupaya meningkatkan tahap keyakinan, kefahaman peranan serta kesiapsiagaan pegawai ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sebenar.

MOOT COURT TRIAL2
 
MOOT COURT TRIAL3
 
MOOT COURT TRIAL4
 
MOOT COURT TRIAL5

MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA PASUKAN KESELAMATAN NEGARA

PUTRAJAYA, 28 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan komitmennya dalam menyokong penuh agenda kerajaan dalam usaha membanteras jenayah kewangan melalui Majlis Amanat YAB Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Kementerian, Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan yang berlangsung di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya hari ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah turut hadir mewakili Maritim Malaysia bagi menyatakan tanda sokongan penuh Agensi menerusi amanat tersebut.

Dalam amanat yang disampaikan, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim menekankan bahawa kelemahan dalam penguatkuasaan perlu segera dibaiki, sama ada berkaitan pencerobohan, penyeludupan atau bertolak ansur dengan kegiatan gelap yang masih berlaku.

Amanat tersebut menjadi panduan bagi Maritim Malaysia memperkukuh operasi pengawasan perairan dan pencegahan kegiatan haram yang boleh mengugat keselamatan dan kesejahteraan ekonomi negara.

Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara telus, berkesan dan bersepadu, selaras dengan visi kerajaan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

AMANAT PM GOV
 
AMANAT PM GOV3
 
AMANAT PM GOV4
 
AMANAT PM GOV5

Lebih banyak artikel..

Grid List

SAEX THAMAL 74/2026 : MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN PERAIRAN MALAYSIA

SONGKHLA, 8 September — Kedaulatan dan keselamatan perairan sempadan terus diperkukuh menerusi kerjasama penguatkuasaan maritim di antara Malaysia – Thailand apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyertai Eksesais SEAEX THAMAL 74/2026 yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Majlis pembukaan eksesais disempurnakan Commander 2nd Naval Area Command, Royal Thai Navy (RTN) merangkap Thailand Joint Chairman (TJC), Rear Admiral Pisit Jaturatkornpat, hari ini.

Turut hadir mengetuai delegasi Malaysia ialah Panglima Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merangkap Malaysia Joint Chairman (MJC), Laksamana Muda Dato’ Azman bin Rabani, manakala delegasi Maritim Malaysia diketuai Pegawai Memerintah KM AMANAH, Leftenan Komander Maritim Nor Fadhli bin Abu Bakar @ Arifin.

Eksesais yang berlangsung dari 6 hingga 12 September itu, merupakan platform operasi bersepadu yang melibatkan agensi penguat kuasa dan pertahanan maritim kedua-dua negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan menangani cabaran keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Thailand.

Di pihak Malaysia, eksesais ini melibatkan Maritim Malaysia, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM), manakala Thailand disertai Royal Thai Navy (RTN), Royal Thai Marine Police (RTMP) dan Thai-Maritime Enforcement Command Center (Thai-MECC).

Fokus operasi meliputi perairan sempadan Malaysia – Thailand di Laut China Selatan, Combined Patrol Area (CPA) Narathiwat/Kelantan dan Teluk Siam, dengan penglibatan aset maritim kedua-dua negara.

Antara aset yang terlibat ialah KM AMANAH (Maritim Malaysia), KD HANDALAN dan KD SRI SABAH (TLDM), PA6 (PPM), HTMS THAYANCHON dan PGM 995 (RTN), RTMP 817 serta PGM 111 (Thai-MECC).

Kemuncak operasi turut menyaksikan aset maritim Malaysia dan Thailand belayar bersama pada 9 September 2026 dari 2nd Naval Area Command (2nd NAC), Songkhla menuju ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam eksesais berskala besar ini memperlihatkan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, kerjasama rentas sempadan dan keupayaan penguatkuasaan maritim, khususnya dalam memastikan perairan Malaysia sentiasa selamat, aman dan terkawal.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC