KUALA KURAU, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah menganjurkan Program Sahabat Maritim (PSM) menerusi Program Sukaneka Rakyat Bersama Komuniti Masyarakat Kuala Kurau bertempat di Perkarangan Surau Wa’Ibrahim, Kampung Telaga Air, 29 Ogos lalu.
Program ini melibatkan penyertaan lebih 300 orang terdiri daripada warga APMM dan penduduk komuniti setempat dari tujuh kampung berhampiran.
Sebanyak 10 acara sukaneka pelbagai peringkat umur telah dipertandingkan bagi menceriakan suasana dan turut diadakan pertandingan persahabatan tarik tali diantara penduduk setempat bersama anggota APMM. Antara objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan interaksi serta membina jaringan kerjasama yang lebih erat antara APMM dengan masyarakat pesisir pantai.
Menurut Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman, berkata Program seperti ini penting sebagai jambatan penghubung antara Maritim Malaysia dan komuniti. Melalui pendekatan santai dan kekeluargaan ini, kami berharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan APMM dalam aspek penguatkuasaan, keselamatan dan kesejahteraan di perairan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa program kemasyarakatan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan tonggak "Malaysia Madani" dan moto "Mengawal, Melindung, Menyelamat".
Kehadiran komuniti yang memberangsangkan membuktikan sokongan padu masyarakat Kuala Kurau terhadap usaha APMM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.













.svg.png)

