LANGKAWI, 6 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki telah melanggar syarat sah lesen dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 4.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika Selatan Pulau Dua pada pukul 6.24 petang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, VNT terbabit bersama tekong dan dua orang kru warganegara Thailand dan seorang kru warganegara Malaysia yang berumur antara 35 hingga 55 tahun ditahan oleh kapal ronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” jelas beliau.
Ujar Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM525 ribu dan vesel berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.
Romli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.













.svg.png)

