PUTRAJAYA, 7 September – Malaysia dan Australia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan Remotely Piloted Aircraft System (RPAS) atau sistem pesawat tanpa pemandu yang dikendalikan dari jauh.
Pemeteraian MOU tersebut merupakan manifestasi komitmen kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dalam usaha membangunkan keupayaan pengawasan dan pemantauan maritim melalui penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran serta pengalaman operasi.
Majlis ini mempunyai signifikan yang amat istimewa. Ini merupakan Memorandum Persefahaman (MOU) kedua yang melibatkan APMM dan Kerajaan Australia. MOU ini merupakan kesinambungan kepada MOU mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Maritim yang telah ditandatangani pada 28 November 2025, dengan Australia diwakili oleh Maritime Border Command, Australian Border Force.
Majlis menandatangani MOU telah berlangsung di Auditorium Seri Samudera, Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini petang tadi.
Pihak Malaysia telah diwakili oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, manakala pihak Australia diwakili oleh Mr. Sean Sullivan, Deputy Secretary, Department Of Climate Change, Energy, The Environment And Water (DCCEEW), Australia.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri, Puan Yang Terutama Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Puan Yang Terutama Danielle Heinecke, pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia serta wakil daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN), DCCEEW dan Kedutaan Australia di Malaysia.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah berkata, pemeteraian MOU tersebut mencerminkan kesungguhan Maritim Malaysia untuk terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam memperkukuh keupayaan agensi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara.
“Penggunaan teknologi RPAS berpotensi menjadi antara elemen penting dalam memperluas keupayaan pemantauan dan pengawasan maritim, khususnya di kawasan perairan yang luas dan mencabar,
“Kerjasama strategik bersama Australia ini pula membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan pendekatan terbaik dalam membangunkan satu keupayaan yang praktikal, selamat dan bersesuaian dengan keperluan operasi Maritim Malaysia,” katanya.
Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan perairan yang luas berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, termasuk aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan, penyeludupan serta pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di laut.
Sehubungan itu, teknologi RPAS berpotensi memainkan peranan sebagai pengganda keupayaan (force multiplier) kepada aset dan anggota sedia ada melalui sokongan pemantauan dari udara serta peluasan liputan kawasan pengawasan, sekali gus membantu memperkukuh keupayaan membuat keputusan dan pelaksanaan operasi.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran Australia dalam penggunaan teknologi dron dengan pengalaman operasi maritim yang luas serta pemahaman Malaysia terhadap persekitaran dan keperluan penguatkuasaan di perairan negara.
Melalui kerjasama rapat antara kedua-dua negara, teknologi tersebut akan dibangunkan dan diintegrasikan secara selamat serta berkesan dalam operasi Maritim Malaysia.
Pemeteraian MOU tersebut selaras dengan aspirasi Maritim Malaysia untuk terus memperkasa kapasiti agensi melalui penerapan teknologi moden dan inovasi bagi meningkatkan keupayaan pengawasan, penguatkuasaan serta kesiapsiagaan operasi.
Pemeteraian MOU ini turut menyediakan kerangka kerjasama yang lebih tersusun bagi membolehkan kedua-dua negara meneruskan pembangunan keupayaan operasi secara bersama dalam jangka panjang, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Australia dalam bidang keselamatan maritim.
Kerjasama strategik ini juga mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin dinamik dan kompleks, di samping menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan serta kestabilan perairan serantau.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pertukaran dokumen dan fotografi rasmi melibatkan delegasi utama Malaysia dan Australia sebagai simbolik kepada pemeteraian kerjasama antara kedua-dua negara.













.svg.png)

