16
Rab, Sep

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN

MARITIM MALAYSIA 'KUNCI' PERAIRAN PERLIS, CUBAAN SELUDUP PATI TUMPAS

VESEL DITAHAN, GUNA MATA PUKAT KURANG 38 MILIMETER, TIADA DOKUMEN SAH

RPAS | MALAYSIA DAN AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENERUSI PEMETERAIAN MOU

VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN

LUMUT, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki melanggar syarat sah lesen dalam operasi penguatkuasaan di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika barat Pulau Pangkor, Perak, pada jam 6.25 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi di perairan berkenaan bagi mengesan dan membanteras pelanggaran undang-undang serta aktiviti jenayah maritim.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Malaysia, serta 11 kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 59 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 1 batu nautika dari pantai, selain disyaki tidak diusahakan sendiri oleh pemegang lesen.

Turut ditemukan di atas vesel berkenaan ialah hasil tangkapan ikan bilis seberat kira-kira 300 kilogram.

Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan bilis dan peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa, khususnya dalam membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi syarat lesen di perairan negara.

MARITIM MALAYSIA 'KUNCI' PERAIRAN PERLIS, CUBAAN SELUDUP PATI TUMPAS

KUALA PERLIS, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) menahan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika barat Pantai Kuala Perlis, lewat petang semalam.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Aman dan Op Tiris, selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan dipercayai bergerak dari arah sempadan negara jiran menuju ke Kuala Perlis.

Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, sampan berkenaan bertindak memecut melarikan diri ke arah daratan.

“Dua lelaki yang dipercayai tekong dan awak-awak kemudiannya bertindak terjun ke dalam kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sampan berkenaan menemukan lapan individu warga Myanmar terdiri daripada empat wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.

Kesemua individu berkenaan dipercayai merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang disyaki memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan berkaitan kemasukan dan keberadaan di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta penggunaan laluan yang tidak dibenarkan atau tidak diwartakan.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sampan berkenaan dianggarkan melebihi RM17,000. Kesemua PATI yang ditahan bersama sampan berkenaan telah dibawa ke IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” jelasnya.

Maritim Malaysia kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan rondaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan perairan berhampiran sempadan negara.

Sebarang cubaan menjadikan perairan negara sebagai laluan bagi aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan PATI tidak akan dikompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, penyeludupan migran atau jenayah maritim di perairan Perlis kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau talian kecemasan 999.

RPAS | MALAYSIA DAN AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENERUSI PEMETERAIAN MOU

PUTRAJAYA, 7 September – Malaysia dan Australia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan Remotely Piloted Aircraft System (RPAS) atau sistem pesawat tanpa pemandu yang dikendalikan dari jauh.

Pemeteraian MOU tersebut merupakan manifestasi komitmen kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dalam usaha membangunkan keupayaan pengawasan dan pemantauan maritim melalui penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran serta pengalaman operasi.

Majlis ini mempunyai signifikan yang amat istimewa. Ini merupakan Memorandum Persefahaman (MOU) kedua yang melibatkan APMM dan Kerajaan Australia. MOU ini merupakan kesinambungan kepada MOU mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Maritim yang telah ditandatangani pada 28 November 2025, dengan Australia diwakili oleh Maritime Border Command, Australian Border Force.

Majlis menandatangani MOU telah berlangsung di Auditorium Seri Samudera, Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini petang tadi.

Pihak Malaysia telah diwakili oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, manakala pihak Australia diwakili oleh Mr. Sean Sullivan, Deputy Secretary, Department Of Climate Change, Energy, The Environment And Water (DCCEEW), Australia.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri, Puan Yang Terutama Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Puan Yang Terutama Danielle Heinecke, pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia serta wakil daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN), DCCEEW dan Kedutaan Australia di Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah berkata, pemeteraian MOU tersebut mencerminkan kesungguhan Maritim Malaysia untuk terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam memperkukuh keupayaan agensi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara.

“Penggunaan teknologi RPAS berpotensi menjadi antara elemen penting dalam memperluas keupayaan pemantauan dan pengawasan maritim, khususnya di kawasan perairan yang luas dan mencabar,

“Kerjasama strategik bersama Australia ini pula membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan pendekatan terbaik dalam membangunkan satu keupayaan yang praktikal, selamat dan bersesuaian dengan keperluan operasi Maritim Malaysia,” katanya.

Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan perairan yang luas berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, termasuk aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan, penyeludupan serta pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di laut.

Sehubungan itu, teknologi RPAS berpotensi memainkan peranan sebagai pengganda keupayaan (force multiplier) kepada aset dan anggota sedia ada melalui sokongan pemantauan dari udara serta peluasan liputan kawasan pengawasan, sekali gus membantu memperkukuh keupayaan membuat keputusan dan pelaksanaan operasi.

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran Australia dalam penggunaan teknologi dron dengan pengalaman operasi maritim yang luas serta pemahaman Malaysia terhadap persekitaran dan keperluan penguatkuasaan di perairan negara.

Melalui kerjasama rapat antara kedua-dua negara, teknologi tersebut akan dibangunkan dan diintegrasikan secara selamat serta berkesan dalam operasi Maritim Malaysia.

Pemeteraian MOU tersebut selaras dengan aspirasi Maritim Malaysia untuk terus memperkasa kapasiti agensi melalui penerapan teknologi moden dan inovasi bagi meningkatkan keupayaan pengawasan, penguatkuasaan serta kesiapsiagaan operasi.

Pemeteraian MOU ini turut menyediakan kerangka kerjasama yang lebih tersusun bagi membolehkan kedua-dua negara meneruskan pembangunan keupayaan operasi secara bersama dalam jangka panjang, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Australia dalam bidang keselamatan maritim.

Kerjasama strategik ini juga mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin dinamik dan kompleks, di samping menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan serta kestabilan perairan serantau.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pertukaran dokumen dan fotografi rasmi melibatkan delegasi utama Malaysia dan Australia sebagai simbolik kepada pemeteraian kerjasama antara kedua-dua negara.

VESEL DITAHAN, GUNA MATA PUKAT KURANG 38 MILIMETER, TIADA DOKUMEN SAH

LUMUT, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas C selepas dipercayai melanggar beberapa syarat sah lesen perikanan di kedudukan kira-kira 6.7 batu nautika tenggara Pulau Nipis, Perak, pada kira-kira jam 2.00 petang Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut ditahan ketika dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan oleh aset Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin menerusi Op SAYONG, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS di sekitar perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama seorang kru warga Malaysia serta tiga kru warga Myanmar yang berusia antara 39 hingga 67 tahun,” katanya.

Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, antaranya menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, menggunakan kru asing tanpa kebenaran serta menggunakan pukat yang mempunyai saiz mata kurang daripada 38 milimeter.

Turut ditemukan di atas vesel berkenaan ialah kira-kira 200 kilogram ikan campur serta peralatan menangkap ikan berupa pukat tunda.

Dalam pemeriksaan sama, tiga kru warga Myanmar turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63* kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki permit kerja.

Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan dan peralatan menangkap ikan telah dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap aktiviti perikanan di perairan negara dilaksanakan mengikut undang-undang serta syarat sah lesen yang telah ditetapkan.

VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

LANGKAWI, 6 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki telah melanggar syarat sah lesen dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 4.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika Selatan Pulau Dua pada pukul 6.24 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, VNT terbabit bersama tekong dan dua orang kru warganegara Thailand dan seorang kru warganegara Malaysia yang berumur antara 35 hingga 55 tahun ditahan oleh kapal ronda Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” jelas beliau.

Ujar Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM525 ribu dan vesel berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

Romli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

Lebih banyak artikel..

Grid List

SAEX THAMAL 74/2026 : MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN PERAIRAN MALAYSIA

SONGKHLA, 8 September — Kedaulatan dan keselamatan perairan sempadan terus diperkukuh menerusi kerjasama penguatkuasaan maritim di antara Malaysia – Thailand apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyertai Eksesais SEAEX THAMAL 74/2026 yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Majlis pembukaan eksesais disempurnakan Commander 2nd Naval Area Command, Royal Thai Navy (RTN) merangkap Thailand Joint Chairman (TJC), Rear Admiral Pisit Jaturatkornpat, hari ini.

Turut hadir mengetuai delegasi Malaysia ialah Panglima Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merangkap Malaysia Joint Chairman (MJC), Laksamana Muda Dato’ Azman bin Rabani, manakala delegasi Maritim Malaysia diketuai Pegawai Memerintah KM AMANAH, Leftenan Komander Maritim Nor Fadhli bin Abu Bakar @ Arifin.

Eksesais yang berlangsung dari 6 hingga 12 September itu, merupakan platform operasi bersepadu yang melibatkan agensi penguat kuasa dan pertahanan maritim kedua-dua negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan menangani cabaran keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Thailand.

Di pihak Malaysia, eksesais ini melibatkan Maritim Malaysia, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM), manakala Thailand disertai Royal Thai Navy (RTN), Royal Thai Marine Police (RTMP) dan Thai-Maritime Enforcement Command Center (Thai-MECC).

Fokus operasi meliputi perairan sempadan Malaysia – Thailand di Laut China Selatan, Combined Patrol Area (CPA) Narathiwat/Kelantan dan Teluk Siam, dengan penglibatan aset maritim kedua-dua negara.

Antara aset yang terlibat ialah KM AMANAH (Maritim Malaysia), KD HANDALAN dan KD SRI SABAH (TLDM), PA6 (PPM), HTMS THAYANCHON dan PGM 995 (RTN), RTMP 817 serta PGM 111 (Thai-MECC).

Kemuncak operasi turut menyaksikan aset maritim Malaysia dan Thailand belayar bersama pada 9 September 2026 dari 2nd Naval Area Command (2nd NAC), Songkhla menuju ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam eksesais berskala besar ini memperlihatkan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, kerjasama rentas sempadan dan keupayaan penguatkuasaan maritim, khususnya dalam memastikan perairan Malaysia sentiasa selamat, aman dan terkawal.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC