PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT BINTARA KANAN MARITIM YAHAYA
JOHOR BAHRU, 19 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menerima khabar duka atas pemergian Bintara Kanan Maritim Yahaya bin Awang Kecik, 53, anggota Seksyen Keselamatan, Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kulai kira-kira jam 5 pagi, semalam.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Ekor Kucing, Tasek Gelugor, Pulau Pinang untuk disemadikan. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 1 pagi hari ini, manakala keseluruhan urusan pengebumian selesai kira-kira jam 2 pagi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada warga Maritim Malaysia, khususnya warga Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor.
“Pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga, malah seluruh warga Maritim Malaysia. Jasa, komitmen dan pengorbanan beliau sepanjang melaksanakan tanggungjawab akan sentiasa dikenang.
“Semoga segala khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan menjadi amal jariah dan mendapat ganjaran di sisi Allah S.W.T.,” katanya.
Sebagai penghormatan terakhir, kawalan kehormatan dan istiadat pengebumian dilaksanakan bagi menyempurnakan pengurusan jenazah Allahyarham.
Seluruh warga Maritim Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan yang amat dirasai. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.