LUMUT, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas C selepas dipercayai melanggar beberapa syarat sah lesen perikanan di kedudukan kira-kira 6.7 batu nautika tenggara Pulau Nipis, Perak, pada kira-kira jam 2.00 petang Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut ditahan ketika dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan oleh aset Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin menerusi Op SAYONG, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS di sekitar perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama seorang kru warga Malaysia serta tiga kru warga Myanmar yang berusia antara 39 hingga 67 tahun,” katanya.
Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, antaranya menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, menggunakan kru asing tanpa kebenaran serta menggunakan pukat yang mempunyai saiz mata kurang daripada 38 milimeter.
Turut ditemukan di atas vesel berkenaan ialah kira-kira 200 kilogram ikan campur serta peralatan menangkap ikan berupa pukat tunda.
Dalam pemeriksaan sama, tiga kru warga Myanmar turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63* kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki permit kerja.
Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan dan peralatan menangkap ikan telah dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap aktiviti perikanan di perairan negara dilaksanakan mengikut undang-undang serta syarat sah lesen yang telah ditetapkan.













.svg.png)

