21
Rab, Okt

Grid List

MARITIM MALAYSIA SANDAKAN GAGALKAN AKTIVITI PEMINDAHAN MINYAK SAWIT MENTAH TANPA KEBENARAN

VESEL TANGKI DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

183 PELATIH LASKAR KELAS II MARITIM TAMAT LATIHAN, SIAP MENGGALAS AMANAH NEGARA

MARITIM MALAYSIA TAHAN 28 OYDS DISYAKI TERLIBAT DALAM AKTIVITI PENYELUDUPAN MIGRAN

NELAYAN INDONESIA DITEMUI SELAMAT SELEPAS BOT KEHABISAN MINYAK DI PERAIRAN PULAU TIOMAN

MARITIM MALAYSIA SANDAKAN REKOD EMPAT KES PENGUATKUASAAN, 10 INDIVIDU DITAHAN

DUA PATI WARGA THAILAND, DISYAKI JALANKAN AKTIVITI PERIKANAN TANPA LESEN

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN, ENAM WARGA MYANMAR GAGAL KEMUKAKAN DOKUMEN SAH

MARITIM MALAYSIA - UKMSHAPE TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneroka potensi kerjasama strategik dengan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi memperkukuh pembangunan modal insan, latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga agensi.

Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi UKMShape kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, di Admiral Lounge, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Delegasi UKMShape diketuai pengarahnya, Lt. Kdr. (B) TLDM Prof. Dr. Lokhman Hakim bin Osman.

Menurut Mohd Rosli, pembangunan modal insan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan warga Maritim Malaysia memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang selari dengan keperluan operasi serta perkembangan teknologi keselamatan maritim.

“Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UKM membuka peluang kepada warga Maritim Malaysia untuk memperluas pengetahuan, meningkatkan kompetensi dan memperoleh akses kepada pendidikan serta latihan profesional yang berkualiti,

"Pelaburan dalam pembangunan modal insan amat penting bagi melahirkan warga yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks,” katanya.

Pertemuan itu turut menjadi platform untuk membincangkan peluang kerjasama dalam pendidikan lanjutan, pembangunan kompetensi dan pemindahan ilmu antara institusi akademik dengan agensi penguatkuasaan maritim.

Kerjasama sedemikian berpotensi memperluas akses warga agensi kepada program pendidikan dan latihan berstruktur, sekali gus menyokong peningkatan kemahiran serta profesionalisme dalam pelaksanaan tugas.

Usaha ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia untuk memastikan pembangunan modal insan bergerak seiring dengan pemodenan aset, teknologi dan keperluan operasi.

Warga yang berilmu, kompeten dan berdaya saing merupakan antara tunjang penting dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, menjaga keselamatan serta mempertahankan kedaulatan perairan negara.

MARITIM NEGERI SELANGOR PERKUKUH KOMPETENSI PENGIRINGAN DAN KAWALAN OKT

PELABUHAN KLANG, 16 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor memperkukuh kompetensi dan kesiapsiagaan warga penguat kuasa dalam pengurusan Orang Kena Tahan (OKT) menerusi Kursus Pengiringan dan Kawalan OKT yang berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, dari 14 hingga 15 Oktober lalu.

Kursus selama dua hari itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai serta anggota dalam aspek pengurusan, pengiringan dan kawalan OKT, selaras dengan prosedur operasi serta keperluan keselamatan yang ditetapkan.

Sesi ceramah dan latihan dikendalikan oleh penceramah serta fasilitator jemputan daripada Unit Trup Tindakan Cepat (TTC), Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, diketuai PPP Mohd Nazir bin Mohammad bersama tiga anggota pasukannya.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, latihan seumpama ini penting bagi memastikan warga Maritim Malaysia memahami prosedur pengendalian OKT dengan betul, selain meningkatkan kecekapan, disiplin dan tahap kesiapsiagaan ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Pengurusan dan kawalan OKT memerlukan tahap profesionalisme, disiplin serta pematuhan prosedur keselamatan yang tinggi. Pendedahan melalui latihan bersama Jabatan Penjara Malaysia ini dapat meningkatkan kompetensi anggota, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi dalam memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara teratur, selamat dan mengikut peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia Negeri Selangor dalam membangunkan warga penguat kuasa yang kompeten dan profesional. Pemantapan kemahiran pengurusan OKT turut menyokong pelaksanaan tugas penguatkuasaan yang berintegriti serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi demi keselamatan perairan dan kedaulatan negara.

MARITIM MALAYSIA LANCAR DOTAM, PERKUKUH OPERASI BERSEPADU DAN KESIAPSIAGAAN AGENSI

GENTING HIGHLANDS, 14 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Doktrin Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (DOTAM) sebagai panduan strategik untuk memperkukuh penyelarasan aset, keberkesanan penguatkuasaan dan kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, sempena Majlis Penutupan Mesyuarat Operasi APMM (MOA) Ke-45 Bilangan 2/2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Oktober di sini.

DOTAM menggantikan doktrin terdahulu berkaitan pengoperasian kapal dan bot dengan pendekatan lebih menyeluruh yang merangkumi aset laut, aset udara dan sistem sokongan. Doktrin ini menjadi rujukan bagi perancangan, pelaksanaan dan penilaian operasi untuk memastikan tindakan penguatkuasaan serta CARILAMAT dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Dalam ucapan penutup MOA Ke-45, Mohd Rosli menegaskan bahawa ancaman maritim yang semakin kompleks menuntut pendekatan operasi yang proaktif, berasaskan data dan dipandu maklumat risikan bagi memastikan Maritim Malaysia kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan keselamatan maritim negara.

“Dalam ancaman yang berubah pantas, operasi tidak boleh lagi bersifat reaktif semata-mata; sebaliknya, kita perlu menjangka risiko, meramal pola dan membuat keputusan berasaskan data,” katanya.

Bagi menyokong operasi bersepadu, DOTAM menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI), sistem pemantauan maritim dan integrasi maklumat untuk memperkukuh Kesedaran Domain Maritim (Maritime Domain Awareness – MDA). Pendekatan ini membantu pengesanan awal ancaman, perancangan penggerakan aset serta pelaksanaan tindak balas yang lebih pantas dan tepat.

MOA Ke-45 turut menggariskan langkah strategik bagi memperkasa operasi penguatkuasaan dan CARILAMAT melalui penstrukturan semula aset kapal, perjawatan dan penempatan, penubuhan Pos Operasi Hadapan (POH), pemerkasaan rantaian arahan serta pengukuhan keselamatan maklumat operasi.

Agenda pemerkasaan itu turut merangkumi pembangunan MDAi menerusi Pelan Strategik 2026–2031, termasuk pemusatan data, pembangunan papan pemuka AI dan penambahbaikan sistem e-Jutra bagi memperkukuh analisis situasi serta risiko untuk menyokong keputusan operasi yang lebih pantas dan tepat.

Mohd Rosli berkata, penerimaan helikopter AW189 dan pelancaran Kapal Misi Pelbagai Guna Pertama (MPMS 1) di Türkiye mencerminkan kemajuan pemodenan aset Maritim Malaysia. Bagaimanapun, peningkatan keupayaan tersebut perlu disokong oleh anggota yang kompeten, penyelenggaraan teratur dan pengurusan logistik yang cekap bagi memastikan aset dimanfaatkan secara optimum.

“Pembangunan modal insan mesti digerakkan seiring dengan pembangunan aset dan teknologi,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan semua lapisan kepimpinan supaya sentiasa menilai dan menambah baik kaedah kerja, meningkatkan kompetensi warga serta memastikan setiap ketetapan mesyuarat diterjemahkan kepada tindakan berfokus dan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan. Integriti, disiplin dan kepimpinan melalui teladan perlu menjadi asas pelaksanaan tugas bagi memastikan Maritim Malaysia kekal profesional dan berwibawa.

Dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan integriti warga agensi, Maritim Malaysia turut menganjurkan Anugerah Siasatan Jenayah Maritim 2026 buat julung kalinya pada 13 Oktober di Genting Highlands bagi mengiktiraf kecemerlangan warga siasatan. Seksyen Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor menerima anugerah Seksyen Siasatan Terbaik dan Piala Pusingan Zulkifili, manakala Leftenan Maritim Husaini bin Ishak dari Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah dinobatkan sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik dan Bintara Muda Maritim Radhi Petrus bin Abdullah dari Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu sebagai Anggota Teknikal Siasatan Terbaik.

Pelaksanaan DOTAM, ketetapan MOA Ke-45 dan pengiktirafan kecemerlangan warga siasatan mencerminkan usaha berterusan Maritim Malaysia memperkukuh keupayaan operasi, sistem penguatkuasaan dan pembangunan modal insan. Usaha bersepadu ini menyokong pelaksanaan amanah agensi dalam mengawal, melindung dan menyelamat demi keselamatan perairan negara serta kesejahteraan rakyat.

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH AMALAN EKSA, TINGKAT KUALITI PERSEKITARAN KERJA

PUTRAJAYA, 15 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam kalangan warga agensi menerusi Kursus Pemantapan EKSA APMM Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 14 hingga 15 Oktober 2026 di Auditorium Seri Samudera, Aras 11, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim.

Kursus ini disertai oleh seramai 50 orang peserta yang mewakili bahagian dan unit bagi menyelaraskan pemahaman dan memperkukuh pelaksanaan EKSA di Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Kursus ini dikendalikan oleh Puan Martini binti Mohamad Safai’ee dari Jabatan Perdana Menteri sebagai penceramah luar yang berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan EKSA dalam sektor awam.

Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai tadbir urus EKSA, pengurusan zon, peranan ketua zon, pengurusan visual dan identiti EKSA, audit dalaman serta penyediaan dokumentasi.

Selain itu, kursus turut memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi, simulasi audit serta penyediaan pelan tindakan zon sebagai persediaan Maritim Malaysia ke arah pelaksanaan EKSA pada tahun 2027.

Menurut Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim, pelaksanaan EKSA bukan sekadar menitikberatkan kebersihan dan kekemasan ruang kerja, malah perlu menjadi budaya kerja yang mengutamakan disiplin, kecekapan dan tanggungjawab setiap warga organisasi.

“Amalan EKSA perlu diterapkan secara konsisten dalam tugas harian, bukan hanya ketika penilaian atau audit dilaksanakan. Persekitaran kerja yang teratur, bersih dan selamat mampu menyokong produktiviti, meningkatkan kecekapan pengurusan serta membentuk budaya kerja yang lebih berkualiti dalam kalangan warga Maritim Malaysia,” katanya.

Pemantapan EKSA secara berterusan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan produktif, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang serta sumber organisasi.

Komitmen seluruh warga Maritim Malaysia dalam mengamalkan EKSA turut menyokong usaha memperkukuh tadbir urus, profesionalisme dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

UJIAN KECERGASAN STESEN UDARA MARITIM SUBANG PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI MARITIM MALAYSIA

SUBANG, 13 Oktober – Seramai 170 pegawai dan anggota Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menyertai Ujian Kecergasan bagi menilai tahap kecergasan fizikal, daya tahan dan kesiapsiagaan mereka dalam mendukung pelaksanaan operasi penguatkuasaan serta mencari dan menyelamat (CARILAMAT) maritim.

Ujian tersebut merangkumi renang sejauh 50 meter di kolam renang Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang serta ujian apungan air (water treading) selama tiga hingga lima minit. Kedua-dua komponen ini menilai kemahiran asas di air yang penting dalam persekitaran operasi maritim.

Penilaian turut melibatkan beberapa komponen kecergasan fizikal, antaranya bangkit tubi (sit-up), tekan tubi dan ujian mendagu atau lengan fleksi mengikut kaedah yang ditetapkan, larian ulang-alik 4 × 10 meter (shuttle run), lompat jauh berdiri serta larian sejauh 2.4 kilometer.

Keseluruhan ujian ini menilai kekuatan otot, kelincahan, koordinasi dan daya tahan kardiovaskular peserta, sekali gus memastikan tahap kecergasan mereka memenuhi piawaian yang ditetapkan serta bersesuaian dengan tuntutan tugas.

Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten Maritim Mohd Ikmal bin Ridzuan, berkata ujian kecergasan secara berkala penting bagi memastikan setiap warga SUMS mengekalkan tahap kecergasan fizikal dan mental yang baik, selaras dengan keperluan tugas serta cabaran operasi maritim.

“Kecergasan bukan sekadar memenuhi piawaian yang ditetapkan, tetapi merupakan asas penting dalam memastikan setiap anggota mampu melaksanakan tugas dengan cekap, selamat dan berkesan. Kesiapsiagaan fizikal serta disiplin yang tinggi perlu sentiasa dipelihara bagi menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dalam pengoperasian aset udara dan operasi mencari dan menyelamat.” katanya.

Pelaksanaan ujian ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam membangunkan modal insan yang kompeten, cergas dan berdaya tahan. Kecergasan serta kesiapsiagaan warga SUMS menjadi antara elemen penting dalam memperkukuh keupayaan operasi agensi demi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA - UKMSHAPE TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneroka potensi kerjasama strategik dengan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi memperkukuh pembangunan modal insan, latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga agensi.

Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi UKMShape kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, di Admiral Lounge, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Delegasi UKMShape diketuai pengarahnya, Lt. Kdr. (B) TLDM Prof. Dr. Lokhman Hakim bin Osman.

Menurut Mohd Rosli, pembangunan modal insan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan warga Maritim Malaysia memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang selari dengan keperluan operasi serta perkembangan teknologi keselamatan maritim.

“Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UKM membuka peluang kepada warga Maritim Malaysia untuk memperluas pengetahuan, meningkatkan kompetensi dan memperoleh akses kepada pendidikan serta latihan profesional yang berkualiti,

"Pelaburan dalam pembangunan modal insan amat penting bagi melahirkan warga yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks,” katanya.

Pertemuan itu turut menjadi platform untuk membincangkan peluang kerjasama dalam pendidikan lanjutan, pembangunan kompetensi dan pemindahan ilmu antara institusi akademik dengan agensi penguatkuasaan maritim.

Kerjasama sedemikian berpotensi memperluas akses warga agensi kepada program pendidikan dan latihan berstruktur, sekali gus menyokong peningkatan kemahiran serta profesionalisme dalam pelaksanaan tugas.

Usaha ini mencerminkan komitmen Maritim Malaysia untuk memastikan pembangunan modal insan bergerak seiring dengan pemodenan aset, teknologi dan keperluan operasi.

Warga yang berilmu, kompeten dan berdaya saing merupakan antara tunjang penting dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, menjaga keselamatan serta mempertahankan kedaulatan perairan negara.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC