KUALA PERLIS, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) menahan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika barat Pantai Kuala Perlis, lewat petang semalam.
Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Aman dan Op Tiris, selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan dipercayai bergerak dari arah sempadan negara jiran menuju ke Kuala Perlis.
Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, sampan berkenaan bertindak memecut melarikan diri ke arah daratan.
“Dua lelaki yang dipercayai tekong dan awak-awak kemudiannya bertindak terjun ke dalam kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut terhadap sampan berkenaan menemukan lapan individu warga Myanmar terdiri daripada empat wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.
Kesemua individu berkenaan dipercayai merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang disyaki memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan berkaitan kemasukan dan keberadaan di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta penggunaan laluan yang tidak dibenarkan atau tidak diwartakan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sampan berkenaan dianggarkan melebihi RM17,000. Kesemua PATI yang ditahan bersama sampan berkenaan telah dibawa ke IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” jelasnya.
Maritim Malaysia kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan rondaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan perairan berhampiran sempadan negara.
Sebarang cubaan menjadikan perairan negara sebagai laluan bagi aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan PATI tidak akan dikompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, penyeludupan migran atau jenayah maritim di perairan Perlis kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau talian kecemasan 999.













.svg.png)

