PUTRAJAYA, 7 September — Keselamatan di laut memerlukan lebih daripada kekuatan aset dan kesiapsiagaan anggota. Ketepatan maklumat cuaca dan keadaan laut turut menjadi elemen penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu operasi maritim.
Atas kepentingan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kunjungan hormat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menyambut delegasi METMalaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip.
Turut mengiringi beliau dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob.
Menurut Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli, Pertemuan berkenaan menjadi platform kedua-dua agensi bertukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam perkongsian data dan maklumat meteorologi bagi menyokong operasi penguatkuasaan, keselamatan maritim serta mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara.
"Maklumat ramalan dan amaran cuaca yang tepat serta pantas amat penting bagi membantu Maritim Malaysia merancang operasi, menilai risiko dan meningkatkan kesiapsiagaan, khususnya dalam melaksanakan operasi CARILAMAT ketika berdepan perubahan serta keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Tambahnya lagi, sinergi Maritim Malaysia dan METMalaysia ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh keupayaan negara, sekali gus memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan sektor maritim Malaysia sentiasa dilindungi.













.svg.png)

