PELABUHAN KLANG, 15 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C yang disyaki melanggar syarat lesen ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua vesel itu ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia pada pukul 2.46 petang dan 2.55 petang, masing-masing di kedudukan 8.8 dan 9.5 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel pertama dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia berusia 49 tahun bersama tiga awak-awak warga Myanmar berusia antara 32 hingga 49 tahun. Vesel kedua pula dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar, termasuk tekong, berusia antara 29 hingga 41 tahun.
“Kesemua enam warga Myanmar yang berada di atas kedua-dua vesel gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau dokumen kebenaran yang berkaitan untuk bekerja di atas vesel berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari daratan, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
Dalam operasi sama, Maritim Malaysia turut merampas kira-kira 350 kilogram ikan campur. Kedua-dua vesel bersama hasil rampasan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 berhubung dakwaan pelanggaran syarat lesen, termasuk aktiviti penangkapan ikan di kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan serta penggajian kru warga asing tanpa kelulusan pihak berkuasa perikanan. Aspek berkaitan dokumen pengenalan diri dan status imigresen kru warga asing turut dirujuk untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi untuk melakukan pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 untuk tindakan lanjut.













.svg.png)

