KUALA PERLIS, 16 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 28 orang Orang Yang Disyaki (OYDS) dalam operasi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang disyaki berlaku di sekitar pesisir Pantai Kurung Tengar, Perlis, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, operasi bermula kira-kira jam 6.00 pagi ketika Bot Benteng 1207 sedang melaksanakan rondaan di perairan Perlis sebelum menerima maklumat risikan berhubung sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang berada dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju di pesisir pantai sebelum bot berkenaan terdampar di kawasan cetek pada kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika dari pantai Kurung Tengar ketika keadaan air surut.
Ketika bot berkenaan dihampiri untuk pemeriksaan, tekong dan individu yang berada di dalamnya bertindak terjun ke dalam lumpur sebelum cuba melarikan diri ke pantai berhampiran. Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan dengan bantuan anggota yang telah bersiap sedia di darat.
Hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan PATI yang ditahan berjumlah 28 orang termasuk tekong dan kru. Daripada jumlah tersebut, seorang merupakan warga tempatan, dua warga Thailand, empat warga Myanmar dan 21 warga Bangladesh yang berumur antara 14 hingga 42 tahun.
Dalam operasi sama, Maritim Malaysia turut menyita sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti membawa masuk migran ke Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki atau keluar dari Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan tanpa menjalani pemeriksaan imigresen, serta Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta ATIPSOM 2007) berhubung kesalahan yang disyaki melibatkan pengangkutan migran secara tidak sah.
Kesemua OYDS bersama bot yang disita dan barang kes dianggarkan hampir RM 150 ribu itu dibawa ke jeti tahanan untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Perlis, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Zon Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999.













.svg.png)

