KUANTAN, 16 Oktober – Seorang nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan ditemukan selamat oleh orang awam ketika botnya hanyut akibat kehabisan minyak di perairan Pulau Tioman, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, pihaknya menerima maklumat awal kehilangan bot nelayan itu daripada Kantor SAR Natuna menerusi e-mel pada 14 Oktober lalu.
Menurut beliau, bot tersebut dilaporkan bertolak dari Letung, Kabupaten Kepulauan Anambas, Indonesia pada 6 Oktober lalu sebelum terputus hubungan.
Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan kemudian menerima laporan penemuan bot itu daripada MRSC Johor Bahru pada 15 Oktober lalu. Bot tersebut ditemukan orang awam di kedudukan kira-kira 22 batu nautika timur Pulau Tioman.
Pemeriksaan mendapati bot berada dalam keadaan baik dan membawa seorang lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun, Bachtiar. Namun, bot kehabisan minyak menyebabkan mangsa hanyut di laut.
Susulan itu, Maritim Malaysia mengatur gerak bot PERKASA 1246 ke lokasi bagi memberikan bantuan. Bot bersama mangsa dibawa ke Pulau Tioman dan selamat tiba pada jam 3.10 pagi, 16 Oktober.
Tambah beliau, MRSC Kuantan turut berkoordinasi dengan Balai Polis Pulau Tioman bagi membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tekek untuk pemeriksaan kesihatan.
“Pihak kami juga telah menghubungi Konsulat Republik Indonesia bagi memaklumkan perkembangan penemuan mangsa serta menyelaraskan tindakan susulan, termasuk urusan dokumentasi dan penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa komited memberi bantuan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa di laut, termasuk nelayan dan warga asing yang berdepan kecemasan di perairan negara.
Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim memastikan bekalan bahan api mencukupi, peralatan keselamatan dalam keadaan baik dan alat komunikasi berfungsi sebelum belayar bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di laut.













.svg.png)

