SUBANG, 13 Oktober – Seramai 170 pegawai dan anggota Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menyertai Ujian Kecergasan bagi menilai tahap kecergasan fizikal, daya tahan dan kesiapsiagaan mereka dalam mendukung pelaksanaan operasi penguatkuasaan serta mencari dan menyelamat (CARILAMAT) maritim.
Ujian tersebut merangkumi renang sejauh 50 meter di kolam renang Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang serta ujian apungan air (water treading) selama tiga hingga lima minit. Kedua-dua komponen ini menilai kemahiran asas di air yang penting dalam persekitaran operasi maritim.
Penilaian turut melibatkan beberapa komponen kecergasan fizikal, antaranya bangkit tubi (sit-up), tekan tubi dan ujian mendagu atau lengan fleksi mengikut kaedah yang ditetapkan, larian ulang-alik 4 × 10 meter (shuttle run), lompat jauh berdiri serta larian sejauh 2.4 kilometer.
Keseluruhan ujian ini menilai kekuatan otot, kelincahan, koordinasi dan daya tahan kardiovaskular peserta, sekali gus memastikan tahap kecergasan mereka memenuhi piawaian yang ditetapkan serta bersesuaian dengan tuntutan tugas.
Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten Maritim Mohd Ikmal bin Ridzuan, berkata ujian kecergasan secara berkala penting bagi memastikan setiap warga SUMS mengekalkan tahap kecergasan fizikal dan mental yang baik, selaras dengan keperluan tugas serta cabaran operasi maritim.
“Kecergasan bukan sekadar memenuhi piawaian yang ditetapkan, tetapi merupakan asas penting dalam memastikan setiap anggota mampu melaksanakan tugas dengan cekap, selamat dan berkesan. Kesiapsiagaan fizikal serta disiplin yang tinggi perlu sentiasa dipelihara bagi menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dalam pengoperasian aset udara dan operasi mencari dan menyelamat.” katanya.
Pelaksanaan ujian ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam membangunkan modal insan yang kompeten, cergas dan berdaya tahan. Kecergasan serta kesiapsiagaan warga SUMS menjadi antara elemen penting dalam memperkukuh keupayaan operasi agensi demi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.













.svg.png)

