PUTRAJAYA, 15 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam kalangan warga agensi menerusi Kursus Pemantapan EKSA APMM Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 14 hingga 15 Oktober 2026 di Auditorium Seri Samudera, Aras 11, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.
Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim.
Kursus ini disertai oleh seramai 50 orang peserta yang mewakili bahagian dan unit bagi menyelaraskan pemahaman dan memperkukuh pelaksanaan EKSA di Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Kursus ini dikendalikan oleh Puan Martini binti Mohamad Safai’ee dari Jabatan Perdana Menteri sebagai penceramah luar yang berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan EKSA dalam sektor awam.
Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai tadbir urus EKSA, pengurusan zon, peranan ketua zon, pengurusan visual dan identiti EKSA, audit dalaman serta penyediaan dokumentasi.
Selain itu, kursus turut memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi, simulasi audit serta penyediaan pelan tindakan zon sebagai persediaan Maritim Malaysia ke arah pelaksanaan EKSA pada tahun 2027.
Menurut Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim, pelaksanaan EKSA bukan sekadar menitikberatkan kebersihan dan kekemasan ruang kerja, malah perlu menjadi budaya kerja yang mengutamakan disiplin, kecekapan dan tanggungjawab setiap warga organisasi.
“Amalan EKSA perlu diterapkan secara konsisten dalam tugas harian, bukan hanya ketika penilaian atau audit dilaksanakan. Persekitaran kerja yang teratur, bersih dan selamat mampu menyokong produktiviti, meningkatkan kecekapan pengurusan serta membentuk budaya kerja yang lebih berkualiti dalam kalangan warga Maritim Malaysia,” katanya.
Pemantapan EKSA secara berterusan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan produktif, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang serta sumber organisasi.
Komitmen seluruh warga Maritim Malaysia dalam mengamalkan EKSA turut menyokong usaha memperkukuh tadbir urus, profesionalisme dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.













.svg.png)

