KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini, dalam memastikan bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim, penyelidikan, teknologi marin serta pembangunan modal insan sentiasa terjalin.
Kerjasama antara Maritim Malaysia dan UMT ini menjadi platform penting dalam menghubungkan kepakaran akademik dan penyelidikan dengan pengalaman serta keperluan operasi sebenar di lapangan, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang lebih berimpak kepada negara.
Majlis menandatangani MoU tersebut menyaksikan Maritim Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, manakala UMT pula diwakili oleh Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dr. Suriyani binti Muhamad.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, berkata kerjasama antara kedua-dua institusi penting dalam menggabungkan kepakaran akademik UMT dengan pengalaman dan keupayaan operasi Maritim Malaysia bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih berorientasikan keperluan sebenar di laut.
Tambah beliau, hubungan strategik antara agensi penguatkuasaan dan institusi akademik turut penting dalam membangunkan modal insan yang memahami keperluan keselamatan serta pengurusan ruang maritim secara menyeluruh.
Kerjasama UMT dan Maritim Malaysia sebelum ini turut diterjemahkan melalui pelbagai program di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, dengan sokongan kawalan keselamatan dan aset daripada Maritim Negeri Terengganu.
Dari aspek pembangunan profesional, tujuh pegawai Maritim Malaysia telah berjaya menamatkan pengajian dalam Program Sarjana Pengurusan, Pengurusan Pantai Zon Bersepadu di UMT, manakala tujuh anggota agensi memperoleh lesen menyelam skuba melalui universiti berkenaan.
Dalam pembangunan bakat generasi muda, Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) yang diwujudkan pada 22 Oktober 2022 terus menjadi platform untuk mendedahkan mahasiswa kepada aspek penguatkuasaan, keselamatan dan pembangunan maritim, di samping membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri.
Sehingga kini, PASKAM UMT telah melalui lima ambilan, melibatkan 48 pelajar Ambilan Pertama, 46 pelajar Ambilan Kedua, 30 pelajar Ambilan Ketiga, 35 pelajar Ambilan Keempat dan 42 pelajar Ambilan Kelima.
Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dr. Suriyani, berkata PASKAM bukan sekadar pasukan beruniform, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha UMT melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan maritim negara.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, YBrs. Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, YBrs. Profesor Ts. Dr. Noor Maizura binti Mohamad Noor, Presiden dan Pengurusan Kumpulan, Centre of Maritime Excellence Group, YBhg. Dato’ Kapten Dr. Jaafar bin Lamri, pegawai-pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan para pensyarah kanan UMT.













.svg.png)

