KUANTAN, 17 Oktober – Seramai 183 Pelatih Laskar Kelas II Maritim, terdiri daripada 173 lelaki dan 10 wanita, berjaya menamatkan Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 19/2025 dalam Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata tamatnya latihan asas bukanlah pengakhiran, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada fasa baharu perkhidmatan para anggota muda.
Beliau menegaskan setiap anggota perlu memberikan perkhidmatan terbaik dengan mengutamakan disiplin, amanah, integriti, kerja berpasukan dan kesediaan membantu pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
AMSAS terus memainkan peranan penting sebagai landasan pembentukan anggota Maritim Malaysia yang berkemahiran dan berdaya tahan. Sepanjang menjalani latihan di akademi tersebut, para pelatih dibimbing untuk membina ketahanan fizikal dan mental, disiplin serta menguasai kemahiran asas perkhidmatan sebelum melangkah ke persekitaran tugas sebenar. Latihan yang diterima turut membentuk keupayaan untuk mematuhi arahan, bekerja dalam pasukan dan menghadapi tuntutan kehidupan di laut.
Sejak penubuhan Maritim Malaysia pada tahun 2005, seramai 2,972 orang Laskar Kelas II Maritim telah dilatih, terdiri daripada 2,780 lelaki dan 192 wanita. Latihan asas yang pada peringkat awal dilaksanakan di KD Sultan Ismail, Pangkalan TLDM, Tanjung Pengelih, Johor Darul Takzim, kemudiannya diteruskan di AMSAS bermula Siri 9 pada tahun 2011, sekali gus memperlihatkan kesinambungan peranan akademi tersebut dalam pembangunan modal insan Maritim Malaysia.
Selepas tamat latihan asas, para anggota akan meneruskan latihan sambil bekerja atau On-the-Job Training (OJT) di kapal-kapal Maritim Malaysia, yang akan menjadi medan untuk mereka mengaplikasikan pengetahuan, memahami prosedur operasi dan keselamatan serta menyesuaikan diri dengan rutin tugas di laut.
Dalam pada itu, aspek integriti dan disiplin terus menjadi teras perkhidmatan dengan setiap anggota diingatkan bahawa mereka membawa imej Maritim Malaysia setiap kali menyarungkan uniform.
Bagi Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 19/2025, lima anugerah kecemerlangan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi mereka, iaitu Anugerah Sukan Terbaik (Piala Temenggung) kepada Laskar Kelas II Maritim Amirularif bin ‘Aini, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik (Piala Bendahara) kepada Laskar Kelas II Maritim Muhammad Nazrizal Ikmal bin Muhamad Wahizam, Anugerah Pelatih Terbaik Wanita (Piala Sri Kandi Laskarnita Terbaik) kepada Laskar Kelas II Maritim Nur ‘Ain binti Mohd. Azwan Tan @ Tan She Boon, Anugerah Kawad Terbaik (Piala Panglima) kepada Laskar Kelas II Maritim Mohd Hakim bin Rosli dan yang terakhir Anugerah Terbaik (Piala Nakhoda) kepada Laskar Kelas II Maritim Mohd Syafri bin Jamaluddin.
Kejayaan para pelatih turut mencerminkan sokongan dan pengorbanan ibu bapa, pasangan serta ahli keluarga yang menjadi sumber kekuatan sepanjang tempoh latihan.
Mengakhiri amanatnya, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful menyeru anggota muda supaya menghormati pegawai atasan dan mematuhi arahan yang sah, melaksanakan setiap tugas dengan jujur dan amanah serta terus belajar sambil memelihara semangat setia kawan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan, jurulatih, tenaga pengajar dan seluruh warga AMSAS atas komitmen membimbing para pelatih sehingga berjaya menamatkan latihan.
Turut hadir Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Maritim Negeri, Pengetua SMK Baging, YBrs. Puan Azizah binti Mat Hassan, Guru Besar SK Sungai Ular, YBrs. Encik Nasharulnizam bin Abdul Rahman, pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia, wakil-wakil agensi sahabat, para jurulatih serta tenaga pengajar AMSAS dan ahli keluarga pelatih.













.svg.png)

