LUMUT, 18 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menahan sebuah vesel tangki minyak selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada kedudukan kira-kira 5.9 batu nautika dari Pulau Pangkor, Perak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel tersebut dikesan bersauh tanpa kebenaran kira-kira jam 1.26 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh lima kru terdiri daripada empat warga Myanmar termasuk nakhoda serta seorang warga Indonesia, berusia antara 34 hingga 59 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta gagal mengemukakan polisi insurans berkaitan Limitation of Liability for Maritime Claims (LLMC) seperti yang ditetapkan,” katanya.
Susulan pemeriksaan itu, nakhoda dan ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan, manakala dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Mohamad Shukri menegaskan bahawa setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan Malaysia tertakluk kepada undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh pemantauan melalui rondaan aset dan sistem pengawasan bagi memastikan keselamatan pelayaran, ketertiban aktiviti maritim serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.













.svg.png)

