03
Isn, Ogs

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026

SEBUAH KAPAL TANGKI DITAHAN MARITIM MALAYSIA, DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN SELANGOR

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

PERKUKUH UKHUWAH, PERKASA TERAS TUJUH MARITIM MALAYSIA

KOTA KINABALU, 13 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus memperkukuh semangat ukhuwah serta integriti warganya menerusi Program Penerapan Teras Tujuh dan Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Majlis penuh simbolik ini menyaksikan kehadiran Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, yang disambut mesra oleh Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, serta barisan kepimpinan tertinggi termasuk Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Maritim Boon Chin Chau dan Timbalan Pengarah Pengurusan Negeri, Puan Siti Norhaini binti Osli.

Dalam ucapannya, Datuk Haji Mohd Rosli menekankan kepentingan penghayatan Teras Tujuh, yang menjadi asas pembentukan sahsiah anggota Maritim Malaysia agar lebih berintegriti, berdaya tahan serta sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menjaga kedaulatan perairan negara.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan atas kejayaan merangkul Piala Laksamana untuk Maritim Negeri Terbaik 2024 serta Piala Kesatria untuk Bot Maritim Terbaik 2024 (KILAT 39).

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada PUSPANITA MARISA, yang berjaya menawan Puncak Gunung Kinabalu sebagai simbol kekuatan dan kesungguhan wanita Maritim Malaysia dalam memperingati Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia

Seiring dengan sambutan Hari Wanita yang disambut pada 8 Mac lalu, beliau menyeru agar peranan wanita dalam kehidupan semua warga perlu sentiasa dihargai kerana figura seorang wanita merupakan pemberi sokongan yang kuat dalam kerjaya seorang penguat kuasa maritim.

"Wanita adalah tulang belakang dalam kehidupan kita. Mereka bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga tetapi juga sebagai penyokong utama kepada barisan hadapan warga Maritim Malaysia," ujarnya.

Pada majlis yang sama, sesi tazkirah dan perkongsian ilmu turut disampaikan oleh Ustaz Rozaili bin Diming bagi memberikan pengisian rohani kepada warga Maritim Malaysia sebelum berbuka puasa bersama dalam suasana penuh keakraban.

Program kemudiannya disusuli dengan majlis iftar jama’ie, solat Maghrib berjemaah serta solat Tarawih, melambangkan semangat kebersamaan dan kekuatan spiritual dalam organisasi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, bersama barisan pengarah bahagian, pengarah zon maritim, ketua-ketua jabatan, serta anggota Pasukan Tindakan Khas dan Selam.

 

TERAS 7 2
 
TERAS 7 3
 
TERAS 7 4

LAWATAN KERJA MENTERI DALAM NEGERI KE MARITIM MALAYSIA DAN MESYUARAT PENYELARASAN PENNGURUSAN MARITIM MALAYSIA BERSAMA MDN

PUTRAJAYA, 13 MAC – Demi mengekalkan pengurusan dan tata kelola yang baik, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menerima lawatan kerja daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail di Ibu Pejabat Maritim Malaysia hari ini.

Lawatan tersebut disambut oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Norhisham bin Ibrahim yang disambut dengan istiadat Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang diadakan di perkarangan lobi utama Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Sebagai pengisian utama lawatan, Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Maritim Malaysia bersama Menteri Dalam Negeri Bil. 1/2025 telah diadakan bagi tujuan mendapatkan maklum balas mengenai isu-isu semasa, cabaran yang dihadapi dan tindakan untuk menambahbaik dalam perlaksanaan tugas teras Maritim Malaysia.

Langkah ini sejajar dengan dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, yang menekankan kepentingan penyelesaian isu di peringkat asas bagi memastikan kecekapan pentadbiran.

Meskipun Maritim Malaysia tidak beroperasi secara sendirian dalam menangani cabaran tugas, kehadiran Menteri Dalam Negeri secara langsung memberi impak yang besar. Usai mesyuarat, Menteri Dalam Negeri turut dibawa melawat Pusat Operasi Maritim (POMAR) bagi mendengar taklimat mengenai fungsi dan cara pengoperasian POMAR.

Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman serta pegawai-pegawai kanan KDN dan Maritim Malaysia.

 

MDN LAWAT
 
 MDN LAWAT4
 
MDN LAWAT6

KEHARMONIAN DAN KEBERSAMAAN WARNAI PROGRAM PEMANTAPAN NILAI-NILAI MURNI MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 7 MAC – Maritim Malaysia terus memperkukuh nilai kebersamaan dan kesedaran kerohanian dalam kalangan warganya menerusi Program Pemantapan Nilai-Nilai Murni, yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, petang semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menegaskan bahawa, program ini bukan sekadar mengimarahkan Ramadan, tetapi turut menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah anggota untuk lebih berintegriti dan berdaya tahan tinggi.

“Semangat kebersamaan dan integriti yang tinggi bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Maritim Malaysia, tetapi juga memastikan agensi ini terus cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Program khas sempena Ramadan ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dan gulai kawah, melibatkan penyertaan anggota dari pelbagai peringkat. Tradisi yang telah menjadi sebahagian daripada budaya Maritim Malaysia sejak dua dekad lalu, bukan sahaja menghidupkan semangat kekeluargaan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan.

Sebagaimana tahun-tahun terdahulu, program kali ini turut diselitkan dengan sesi penyampaian Bingkisan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas sepanjang Ramadan dan Syawal di seluruh negara oleh PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia, Datin Noriyanti Mohd Noor berkata, sumbangan tersebut adalah tanda penghargaan kepada pengorbanan dan komitmen anggota yang terus bertugas tanpa mengira waktu demi memastikan keselamatan perairan negara.

“Semoga sumbangan kecil ini membawa keceriaan dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menyambut Syawal yang bakal tiba,” katanya.

Majlis Penyerahan Bingkisan Aidilfitri telah disempurnakan oleh Datin Noriyanti dengan menyerahkan simbolik sumbangan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli sebelum diagihkan kepada sektor-sektor di Ibu Pejabat dan Pengarah Maritim Negeri.

Sementara itu, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli turut menzahirkan penghargaan kepada PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia terhadap inisiatif ini dan menyatakan bahawa sumbangan tersebut merupakan lambang kebersamaan dan keprihatinan dalam keluarga besar Maritim Malaysia.

“Sumbangan bingkisan ini sebenarnya jika dihayati, ia lebih daripada sekadar sumbangan, bingkisan ini adalah simbol kebersamaan dan keprihatinan keluarga besar Maritim Malaysia terhadap setiap pegawai dan anggota yang tetap memikul amanah menjalankan tugas menjaga keselamatan perairan negara meskipun pada saat orang lain bergembira di sisi keluarga. Diharapkan sumbangan bingkisan ini mampu membawa senyuman, menyemarakkan semangat, dan menyuntik kemeriahan Aidilfitri kepada seluruh warga Maritim Malaysia yang bertugas di hari raya,” katanya.

Menjelang waktu berbuka, program diteruskan dengan sesi zikir munajat, tazkirah dan perkongsian ilmu yang memberi pengisian rohani kepada warga Maritim Malaysia. Majlis diteruskan dengan Iftar Jama’ie, solat Maghrib berjemaah, serta solat terawih yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Ustaz Haji Nik Kamaruddin bin Haji Yunoh.

Majlis yang penuh keberkatan ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 300 warga Maritim Malaysia, termasuk kepimpinan tertinggi Kepimpinan Tertinggi Maritim Malaysia, Pengarah-pengarah Bahagian, serta Pengarah Maritim Negeri.

Program juga turut menyantuni 16 orang anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar Bangi, melambangkan semangat kasih sayang dan kebersamaan yang menjadi tunjang dalam institusi Maritim Malaysia.

KP LAMBUK
 
KP LAMBUK5
 
KP LAMBUK4
 
KP LAMBUK7

RAJA MUDA PERLIS MENCEMAR DULI KE KM ARAU SEMPENA EKSESAIS PERBAH

KOTA KINABALU, 7 MAC - Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan mencemar duli melawat Kapal Maritim (KM) ARAU di Jeti Kinabalu North Shipyard Maritime, Kota Kinabalu, Sabah petang semalam.

Keberangkatan tiba DYTM Tuanku yang diiringi Mufti Negeri Perlis Sahibus Samahah Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Ketua Polis Perlis YDH DCP Dato’ Muhammad Bin Abdul Halim dan delegasi telah disambut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Bin Che Engku Daik bersama-sama Pegawai Memerintah KM ARAU Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria.

Lawatan yang penuh bersejarah ini mengimbau kembali detik penamaan KM ARAU oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamallullail pada 15 Julai 2017 di Pusat Hidrografi Nasional, Bandar Armada Putra, Pulau Indah yang juga dihadiri DYTM Tuanku.

Lawatan ke atas KM ARAU ini adalah di bawah Pelaksanaan EKSESAIS PERLIS - SABAH (EKS. PERBAH) Siri Ke-19 Tahun 2025 yang merupakan program tahunan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 AW ke kawasan OP PASIR sejak tahun 2003 dan dijenamakan semula pada tahun 2019.

Program ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Perlis, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Keselamatan Persekutuan.

Lawatan di KM ARAU di mulakan dengan 'piping the side' dan bendera Diraja dinaikkan. Seusai itu Tuanku dan delegasi dibawa ke Geladak Suku untuk melihat pameran senjata oleh Pasukan Tindak Khas dan Penyelamat (STAR Team) sebelum ke Geladak Penerbangan untuk sesi bergambar. Seterusnya Tuanku dan delegasi dibawa ke Anjungan Kapal dan telah diberikan taklimat ringkas oleh Pegawai Navigasi KM ARAU Leftenan Maritim Khairul Azizi bin Zulkifli.

Tuanku yang kelihatan ceria sepanjang lawatan telah berkenan untuk bergambar dengan anggota kapal yang bertugas. Lebih menarik lagi apabila Tuanku berkenan untuk menitipkan ucapan Selamat Berpuasa kepada aset-aset Maritim Malaysia yang sedang bertugas iaitu KM IKHLAS, PENGAWAL 39 dan PERKASA 22. Malahan Tuanku juga sempat berpesan untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang bertugas.

Lawatan Tuanku dan delegasi diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada Tuanku yang disembahkan oleh Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan dan juga Pegawai Memerintah KM ARAU. Seterusnya DYTM Tuanku juga turut menyembahkan warkah balasan kepada Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan.

Piping the side sekali lagi dilaungkan dan bendera Diraja diturunkan sempena keberangkatan pulang DYTM Tuanku dan delegasi.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Timbalan Pengarah Operasi Negeri Kepten Maritim Boon Chin Chau, Timbalan Pengarah Pengurusan Negeri Puan Siti Norhaini binti Osli, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Penguatkuasaan dan Eksesais (P&E) Komander Maritim Siti Khairunnisak Binti Abd Aziz, dan pegawai-pegawai kanan lain.

 

RMP
 
RMP5
 
RMP6
 
RMP7

YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIAKAN BOT PEMINTAS BERTEKNOLOGI TINGGI KEPADA MARITIM MALAYSIA

KUANTAN, 6 MAC – Maritim Negeri Pahang menerima aset baharu yang bakal meningkatkan keupayaan operasi kawalan maritim apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada agensi ini menerusi Royal Boat Hangar Johor, di Pos Maritim Teluk Gading, semalam

Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk mengurniakan bot ini kepada Maritim Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.

Ujar beliau lagi, kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.

“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Negeri Pahang.

Bot IC 1170CC ini mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter, serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot, manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.

Reka bentuk dalaman bot ini turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi. Ia juga dilengkapi Aluminium Trailer, membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.

Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara.

“Bot ini akan digunakan dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) serta penguatkuasaan undang-undang di laut.”

“Keupayaannya akan memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Pahang,” jelas Datuk Saiful lagi.

Penyerahan bot ini turut menjadi simbolik kepada komitmen Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menyokong usaha Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap tertinggi.

Terdahulu, majlis penyerahan dimulakan dengan sesi menandatangani buku lawatan, diikuti upacara menandatangani sijil penyerahan antara Royal Boat Hangar Johor dan Maritim Malaysia. Ia diakhiri dengan sesi lawatan ke bot baharu tersebut di jeti Teluk Gading.

Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, Pengarah Bahagian Kejuruteraan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal bin Hishamuddin, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor, serta wakil Royal Boat Hangar Johor, Encik Mohamad Yuni bin Ismail.

Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang, tetapi juga satu amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

 

KURNIA BOT2
 
KURNIA BOT3
 
KURNIA BOT4
 
KURNIA BOT5

Lebih banyak artikel..

Grid List

PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026

LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.

Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.

Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.

Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.

Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC