PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Selangor dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal tangki tersebut ditahan kira-kira pukul 3.35 petang pada kedudukan 8.8 batu nautika barat daya Sekinchan ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Vietnam berusia 60 tahun bersama 13 kru, terdiri daripada 12 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 51 tahun. Kesemua mereka didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.
Susulan itu, Perintah Penahanan telah dikeluarkan ke atas kapal berkenaan, manakala nakhoda bersama ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim dan akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang di perairan negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha dan pemilik kapal supaya mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti bersauh di perairan negara bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 03-8995 7820 untuk tindakan segera.













.svg.png)

