PUTRAJAYA, 28 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh komitmen dalam mendukung aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi penyertaan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bulan Julai 2026 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.
Maritim Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. Turut hadir ialah barisan pengarah bahagian, pegawai kanan serta kira-kira 80 pegawai dan anggota Maritim Malaysia.
Perhimpunan bulanan itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang dalam amanatnya menegaskan kepentingan memperkukuh integriti, profesionalisme dan kesiapsiagaan seluruh agensi di bawah KDN dalam menghadapi cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.
Beliau turut menekankan bahawa ancaman seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan rasuah memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, disokong oleh tadbir urus yang berintegriti serta kerjasama erat antara semua agensi keselamatan.
Selaras dengan amanat tersebut, Maritim Malaysia kekal komited memperkasakan peranannya sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim negara melalui pengoperasian aset yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang di laut, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi di bawah KDN dan rakan penguat kuasa lain.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam perhimpunan ini mencerminkan iltizam berterusan agensi untuk mendukung agenda Malaysia MADANI, memperkukuh budaya integriti serta memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat dan negara.













.svg.png)

