17
Kha, Sep

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN

MARITIM MALAYSIA 'KUNCI' PERAIRAN PERLIS, CUBAAN SELUDUP PATI TUMPAS

VESEL DITAHAN, GUNA MATA PUKAT KURANG 38 MILIMETER, TIADA DOKUMEN SAH

RPAS | MALAYSIA DAN AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENERUSI PEMETERAIAN MOU

VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

KOTA KINABALU, 25 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini mencipta satu lagi detik bersejarah apabila kapal ronda luar pesisir terbaharu, KM BENDAHARA, secara rasminya dinamakan dalam Majlis Penamaan Kapal Maritim BENDAHARA yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, di Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis berkenaan menandakan permulaan fasa baharu pengoperasian aset strategik Maritim Malaysia yang bakal memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pengawasan dan kesiapsiagaan negara khususnya di perairan Sabah serta Laut China Selatan (LCS).

KM BENDAHARA merupakan bekas kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (United States Coast Guard – USCG), USCG Steadfast (WMEC-623), yang dibina pada tahun 1967 dan menamatkan perkhidmatannya bersama USCG pada 01 Februari 2024 selepas lebih lima dekad berkhidmat. Kapal tersebut diperoleh oleh Kerajaan Malaysia menerusi Program Jualan Ketenteraan Asing (Foreign Military Sales – FMS) Amerika Syarikat sebelum diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia pada 5 September 2025 di Baltimore, Amerika Syarikat.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik berkata, pengoperasian KM BENDAHARA membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan maritim negara melalui pemerkasaan aset strategik bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Beliau berkata, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM30 juta bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih kapal, latihan kru serta pelayaran pulang aset tersebut ke tanah air sebagai pelaburan strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia.

Menurut beliau, Sabah terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam agenda keselamatan negara memandangkan kedudukannya sebagai benteng hadapan Malaysia di Zon Maritim dan kawasan LCS yang mempunyai kepentingan strategik.

Bagi tahun ini, sehingga 30 Jun 2026, Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Labuan telah melaksanakan sebanyak 27,933 pemeriksaan dan 12,892 penggeledahan di Zon Maritim Malaysia dalam usaha memastikan keselamatan, kedaulatan dan pematuhan undang-undang di perairan negara. Dalam tempoh yang sama, Maritim Malaysia turut berjaya merekodkan 142 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang negara dengan nilai rampasan berjumlah RM 91,532,941.70.

Manakala bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) , Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Labuan telah mengendalikan sebanyak 10 kes SAR yang melibatkan 21 mangsa, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan nyawa di laut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kru KM BENDAHARA atas kejayaan membawa pulang kapal tersebut dengan selamat selepas mengharungi pelayaran sejauh lebih 49 hari dari Baltimore, Amerika Syarikat bermula pada 17 September 2025. Pelayaran bersejarah itu merentasi tujuh lautan, empat teluk utama dunia dan dua selat antarabangsa sebelum tiba di Klang pada 4 November 2025 dan seterusnya di Kota Kinabalu pada 14 November 2025.

Sepanjang pelayaran tersebut, kru kapal telah menempuh pelbagai cabaran termasuk latihan bersama United States Coast Guard (USCG), gangguan teknikal serta insiden spoofing isyarat navigasi yang berjaya diatasi hasil profesionalisme, ketahanan mental dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Majlis berkenaan turut mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang keselamatan maritim. Penyerahan kapal daripada United States Coast Guard kepada Maritim Malaysia menjadi simbol kepercayaan tinggi terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan perairan serantau.

KM BENDAHARA akan beroperasi bersama aset ronda luar pesisir Maritim Malaysia yang lain termasuk KM TUN FATIMAH dan KM ARAU bagi memperkukuh kehadiran operasi, rondaan serta penguatkuasaan di LCS dan perairan Sabah.

Dalam ucapannya juga, Ketua Setiausaha KDN menegaskan bahawa kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG yang telah terjalin melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan kerjasama teknikal akan terus diperkukuhkan sejajar dengan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.

Mengulas mengenai pemilihan nama kapal, beliau berkata nama BENDAHARA melambangkan kebijaksanaan, kewibawaan, kesetiaan serta amanah yang menjadi tonggak pentadbiran Kesultanan Melayu dan diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga kapal dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Majlis Penamaan KM BENDAHARA bukan sahaja melakar sejarah baharu buat Maritim Malaysia, malah memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim demi menjamin keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.

Grid List

SAEX THAMAL 74/2026 : MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN PERAIRAN MALAYSIA

SONGKHLA, 8 September — Kedaulatan dan keselamatan perairan sempadan terus diperkukuh menerusi kerjasama penguatkuasaan maritim di antara Malaysia – Thailand apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyertai Eksesais SEAEX THAMAL 74/2026 yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Majlis pembukaan eksesais disempurnakan Commander 2nd Naval Area Command, Royal Thai Navy (RTN) merangkap Thailand Joint Chairman (TJC), Rear Admiral Pisit Jaturatkornpat, hari ini.

Turut hadir mengetuai delegasi Malaysia ialah Panglima Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merangkap Malaysia Joint Chairman (MJC), Laksamana Muda Dato’ Azman bin Rabani, manakala delegasi Maritim Malaysia diketuai Pegawai Memerintah KM AMANAH, Leftenan Komander Maritim Nor Fadhli bin Abu Bakar @ Arifin.

Eksesais yang berlangsung dari 6 hingga 12 September itu, merupakan platform operasi bersepadu yang melibatkan agensi penguat kuasa dan pertahanan maritim kedua-dua negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan menangani cabaran keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Thailand.

Di pihak Malaysia, eksesais ini melibatkan Maritim Malaysia, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM), manakala Thailand disertai Royal Thai Navy (RTN), Royal Thai Marine Police (RTMP) dan Thai-Maritime Enforcement Command Center (Thai-MECC).

Fokus operasi meliputi perairan sempadan Malaysia – Thailand di Laut China Selatan, Combined Patrol Area (CPA) Narathiwat/Kelantan dan Teluk Siam, dengan penglibatan aset maritim kedua-dua negara.

Antara aset yang terlibat ialah KM AMANAH (Maritim Malaysia), KD HANDALAN dan KD SRI SABAH (TLDM), PA6 (PPM), HTMS THAYANCHON dan PGM 995 (RTN), RTMP 817 serta PGM 111 (Thai-MECC).

Kemuncak operasi turut menyaksikan aset maritim Malaysia dan Thailand belayar bersama pada 9 September 2026 dari 2nd Naval Area Command (2nd NAC), Songkhla menuju ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam eksesais berskala besar ini memperlihatkan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, kerjasama rentas sempadan dan keupayaan penguatkuasaan maritim, khususnya dalam memastikan perairan Malaysia sentiasa selamat, aman dan terkawal.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC