MIRI, 8 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel tunda pada kedudukan lebih kurang 10.7 batu nautika barat laut Kuala Bakam kerana gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan ketika dalam satu pemeriksaan oleh pegawai operasi Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, vesel tunda itu telah ditahan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam OP PERMAI 01/2019, OP NAGA TIMUR dan OP TIRIS 3.0 pada sekitar pukul 1.40 petang semalam.
Menurutnya lagi, vesel tunda tersebut bersama lapan kru termasuk nakhoda warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 57 tahun telah ditahan dan seterusnya diiring ke Jeti Kompleks Zon Maritim Miri sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan.
Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di perairan negara.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri melalui talian 085-649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.



























.svg.png)

