02
Ahd, Ogs

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026

SEBUAH KAPAL TANGKI DITAHAN MARITIM MALAYSIA, DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN SELANGOR

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

KUCHING, 27 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Indonesia yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Sarawak dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada 23 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 11.35 pagi oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik ketika melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia, termasuk seorang nakhoda.

Siasatan awal mendapati vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Vesel bersama empat kru terbabit telah ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mohd Khairi berkata, Maritim Malaysia Negeri Sarawak akan terus mempergiat operasi rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang maritim demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber marin negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

PUTRAJAYA, 28 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh komitmen dalam mendukung aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi penyertaan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bulan Julai 2026 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Maritim Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. Turut hadir ialah barisan pengarah bahagian, pegawai kanan serta kira-kira 80 pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

Perhimpunan bulanan itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang dalam amanatnya menegaskan kepentingan memperkukuh integriti, profesionalisme dan kesiapsiagaan seluruh agensi di bawah KDN dalam menghadapi cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan bahawa ancaman seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan rasuah memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, disokong oleh tadbir urus yang berintegriti serta kerjasama erat antara semua agensi keselamatan.

Selaras dengan amanat tersebut, Maritim Malaysia kekal komited memperkasakan peranannya sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim negara melalui pengoperasian aset yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang di laut, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi di bawah KDN dan rakan penguat kuasa lain.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam perhimpunan ini mencerminkan iltizam berterusan agensi untuk mendukung agenda Malaysia MADANI, memperkukuh budaya integriti serta memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat dan negara.

EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026

KOTA KINABALU, 25 Julai – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melaksanakan Eksesais Aqua Guardian Siri 1/2026 pada 16 hingga 21 Julai lalu bertempat di sekitar perairan Kota Kinabalu, Sabah.

Eksesais ini melibatkan penyertaan Penyelam Penyelamat daripada Skuadron Gempur Sabah dan Sarawak, Skuadron Gempur Semenanjung, Skuadron Selam serta Markas STAR Team sebagai inisiatif memperkukuh kompetensi serta kesiapsiagaan Penyelam Penyelamat APMM dalam melaksanakan operasi khas.

Sepanjang pelaksanaan eksesais, peserta telah melalui empat fasa utama iaitu Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Table Top Exercise (TTX), Field Training Exercise (FTX) dan After Action Review (AAR). Latihan teori telah dilaksanakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah, manakala latihan praktikal diadakan di perairan Pulau Sepanggar yang merangkumi penyelaman forensik bawah air serta latihan mengeluarkan mangsa dari ruang tertutup bangkai kapal pada kedalaman 24 meter.

Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan latihan, aset milik Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Bot Pengawal 38 dan Bot Perkasa 22 telah diatur gerak bagi melaksanakan tugas sokongan logistik serta kawalan keselamatan sepanjang fasa penyelaman.

Komander Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Kepten Maritim Syuzefril bin Mat Noor berkata, penganjuran Eksesais Aqua Guardian Siri 1/2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memperluaskan keupayaan Penyelam Penyelamat APMM dalam bidang forensik bawah air, di samping meningkatkan kemahiran melaksanakan penyelaman di ruang tertutup dan sempit.

Menurut beliau, latihan seumpama ini bukan sahaja meningkatkan tahap kompetensi anggota, malah memperkukuh kesiapsiagaan operasi STAR Team dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan operasi khas, selaras dengan keperluan semasa serta cabaran penguatkuasaan maritim negara.

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

KOTA KINABALU, 25 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini mencipta satu lagi detik bersejarah apabila kapal ronda luar pesisir terbaharu, KM BENDAHARA, secara rasminya dinamakan dalam Majlis Penamaan Kapal Maritim BENDAHARA yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, di Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis berkenaan menandakan permulaan fasa baharu pengoperasian aset strategik Maritim Malaysia yang bakal memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pengawasan dan kesiapsiagaan negara khususnya di perairan Sabah serta Laut China Selatan (LCS).

KM BENDAHARA merupakan bekas kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (United States Coast Guard – USCG), USCG Steadfast (WMEC-623), yang dibina pada tahun 1967 dan menamatkan perkhidmatannya bersama USCG pada 01 Februari 2024 selepas lebih lima dekad berkhidmat. Kapal tersebut diperoleh oleh Kerajaan Malaysia menerusi Program Jualan Ketenteraan Asing (Foreign Military Sales – FMS) Amerika Syarikat sebelum diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia pada 5 September 2025 di Baltimore, Amerika Syarikat.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik berkata, pengoperasian KM BENDAHARA membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan maritim negara melalui pemerkasaan aset strategik bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Beliau berkata, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM30 juta bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih kapal, latihan kru serta pelayaran pulang aset tersebut ke tanah air sebagai pelaburan strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia.

Menurut beliau, Sabah terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam agenda keselamatan negara memandangkan kedudukannya sebagai benteng hadapan Malaysia di Zon Maritim dan kawasan LCS yang mempunyai kepentingan strategik.

Bagi tahun ini, sehingga 30 Jun 2026, Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Labuan telah melaksanakan sebanyak 27,933 pemeriksaan dan 12,892 penggeledahan di Zon Maritim Malaysia dalam usaha memastikan keselamatan, kedaulatan dan pematuhan undang-undang di perairan negara. Dalam tempoh yang sama, Maritim Malaysia turut berjaya merekodkan 142 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang negara dengan nilai rampasan berjumlah RM 91,532,941.70.

Manakala bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) , Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Labuan telah mengendalikan sebanyak 10 kes SAR yang melibatkan 21 mangsa, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan nyawa di laut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kru KM BENDAHARA atas kejayaan membawa pulang kapal tersebut dengan selamat selepas mengharungi pelayaran sejauh lebih 49 hari dari Baltimore, Amerika Syarikat bermula pada 17 September 2025. Pelayaran bersejarah itu merentasi tujuh lautan, empat teluk utama dunia dan dua selat antarabangsa sebelum tiba di Klang pada 4 November 2025 dan seterusnya di Kota Kinabalu pada 14 November 2025.

Sepanjang pelayaran tersebut, kru kapal telah menempuh pelbagai cabaran termasuk latihan bersama United States Coast Guard (USCG), gangguan teknikal serta insiden spoofing isyarat navigasi yang berjaya diatasi hasil profesionalisme, ketahanan mental dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Majlis berkenaan turut mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang keselamatan maritim. Penyerahan kapal daripada United States Coast Guard kepada Maritim Malaysia menjadi simbol kepercayaan tinggi terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan perairan serantau.

KM BENDAHARA akan beroperasi bersama aset ronda luar pesisir Maritim Malaysia yang lain termasuk KM TUN FATIMAH dan KM ARAU bagi memperkukuh kehadiran operasi, rondaan serta penguatkuasaan di LCS dan perairan Sabah.

Dalam ucapannya juga, Ketua Setiausaha KDN menegaskan bahawa kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG yang telah terjalin melalui latihan bersama, pertukaran kepakaran dan kerjasama teknikal akan terus diperkukuhkan sejajar dengan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.

Mengulas mengenai pemilihan nama kapal, beliau berkata nama BENDAHARA melambangkan kebijaksanaan, kewibawaan, kesetiaan serta amanah yang menjadi tonggak pentadbiran Kesultanan Melayu dan diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga kapal dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Majlis Penamaan KM BENDAHARA bukan sahaja melakar sejarah baharu buat Maritim Malaysia, malah memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim demi menjamin keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.

SEBUAH KAPAL TANGKI DITAHAN MARITIM MALAYSIA, DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN SELANGOR

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Selangor dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal tangki tersebut ditahan kira-kira pukul 3.35 petang pada kedudukan 8.8 batu nautika barat daya Sekinchan ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Vietnam berusia 60 tahun bersama 13 kru, terdiri daripada 12 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 51 tahun. Kesemua mereka didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.

Susulan itu, Perintah Penahanan telah dikeluarkan ke atas kapal berkenaan, manakala nakhoda bersama ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan lanjut.

Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim dan akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang di perairan negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut mengingatkan semua pengusaha dan pemilik kapal supaya mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti bersauh di perairan negara bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 03-8995 7820 untuk tindakan segera.

Lebih banyak artikel..

Grid List

PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026

LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.

Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.

Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.

Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.

Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC