SEMPORNA, 5 MEI – Sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna di perairan Pulau Bum Bum, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, bot terbabit dikesan dalam rondaan sekitar pukul 12.20 tengah hari kira-kira 0.8 batu nautika dari Tanjung Pantau-Pantau.
“Hasil pemeriksaan menemui lebih 50 kilogram ikan dipercayai diperoleh menggunakan bahan letupan buatan sendiri,
“Suspek yang mengendalikan bot bagaimanapun sempat melarikan diri ke kawasan perairan cetek,” katanya lagi.
Menurut Amir lagi, kegiatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985, malah boleh merosakkan terumbu karang dan ekosistem laut secara berpanjangan.
Beliau turut berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan rangkaian yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
“Orang ramai, khususnya komuniti nelayan digesa bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di laut,” ujar Amir lagi.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.


















.svg.png)

