MIRI, 4 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah berjaya menahan sebuah vesel tangki pada kedudukan lebih kurang 1.7 batu nautika barat laut Kuala Baram atas kesalahan gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan semasa diperiksa.
Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, vesel tangki berkenaan telah ditahan pasukan peronda bot Maritim Malaysia semasa melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 sekitar pukul 10.10 pagi semalam.
Menurutnya lagi, vesel tangki tersebut bersama empat kru termasuk nakhoda, tiga warga tempatan dan seorang warga India dalam lingkungan umur 24 hingga 76 tahun telah ditahan dan seterusnya diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan semasa diperiksa.
Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di sepanjang perairan Malaysia.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau melalui talian bantuan kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

