20
Isn, Apr

Grid List

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN KELUAR 31 TONG DIESEL MELALUI PERAIRAN NEGARA

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

MESYUARAT IPC SAREX LANG BRONOK 2026, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, TANGKAP IKAN KURANG 12 BATU NAUTIKA DARI PANTAI

NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT

MALAYSIA – FILIPINA PERKUKUH SINERGI MARITIM SERANTAU

PUTRAJAYA, 10 APRIL – Dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau, Malaysia dan Filipina baru-baru ini mengadakan satu sesi pertemuan khas bagi membincangkan langkah-langkah mempertingkatkan keselamatan perairan dan menangani ancaman rentas sempadan.

Pertemuan ini berlangsung bersempena lawatan ulung kapal peronda luar pesisir BRP Gabriela Silang (OPV-8301) milik Philippine Coast Guard (PCG) ke Malaysia yang diadakan dari 8 hingga 10 April 2025.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, telah mempengerusikan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Rear Admiral Hostillo Arturo E. Cornelio dari PCG, turut membincangkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim, pembangunan modal insan, serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut Sulu dan Laut Celebes.

Menurut Datuk Saiful, pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu menghasilkan beberapa kata sepakat yang signifikan untuk memperkukuhkan lagi diplomasi maritim di antara kedua-dua buah negara.

“Kerjasama serantau yang mantap adalah kunci untuk menangani pelbagai cabaran maritim, terutamanya isu pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ancaman keselamatan bukan konvensional”, katanya.

Turut serta dalam pertemuan tersebut, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kepten Maritim Mohammad Nasir bin Man dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli serta pegawai-pegawai PCG.

Selain daripada pertemuan tersebut, delegasi PCG turut mengadakan latihan Table Top Exercise (TTX) di atas kapal BRP Gabriela Silang, yang melibatkan Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) Putrajaya dan MRCC Filipina.

Latihan yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim, bertujuan menilai keupayaan respons dan memperkukuh jaringan komunikasi serta prosedur operasi maritim di antara kedua-dua buah negara.

Lawatan ini juga menyaksikan delegasi PCG mengadakan lawatan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Para delegasi telah diberikan taklimat mengenai operasi, aset serta demonstrasi penyelamatan oleh Rescue Swimmer.

Terdahulu, kapal BRP Gabriela Silang telah disambut ketibaannya pada 8 April lalu dengan iringan muzik patriotik oleh pasukan pancaragam Maritim Malaysia di Port Klang Cruise Terminal (PKCT).

Sambutan ini menandakan permulaan lawatan yang penting ini dalam memperkukuh sinergi maritim antara Malaysia dan Filipina.

Kerjasama seperti ini adalah bukti komitmen kedua-dua negara dalam menjaga keselamatan perairan serantau dan memastikan kelestarian sumber laut serta menjamin keamanan bagi generasi akan datang.

 

WhatsApp Image 2025 04 10 at 3.59.31 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 04 10 at 2.00.36 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 04 10 at 3.59.32 PM 3
 
WhatsApp Image 2025 04 10 at 3.59.30 PM 1

LATIHAN OPERASI BERSAMA MARITIM MALAYSIA DAN PHILIPPINES COAST GUARD

PELABUHAN KLANG, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya telah menyertai Latihan Table Top Exercise (TTX) secara dua hala bersama MRCC Philippines yang berlangsung di atas kapal BRP Gabriela Silang milik Philippine Coast Guard (PCG), pagi tadi.

Latihan ini adalah bertujuan untuk menilai keupayaan respons dan koordinasi operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MSAR) antara kedua-dua negara, selain memperkukuhkan jaringan komunikasi dan prosedur operasi serantau di samping berkongsi pengalaman dan mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan di perairan sempadan Malaysia - Filipina.

Latihan yang dimulakan pada jam 10.00 pagi itu diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim, dibantu oleh Komander Maritim Mohd Ardi bin Mat Nawi bersama barisan pegawai dan anggota dari BCLBB serta Maritim Negeri Selangor.

Dari pihak PCG, latihan diketuai oleh Kepten Restituto P. Concio bersama 13 anggota PCG dari kapal BRP Gabriela Silang.

Latihan ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan secara tidak langsung telah memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua pihak dalam memastikan keamanan dan keselamatan di perairan serantau sentiasa terpelihara.

 

TTX PCG
 
TTX PCG3
 
TTX PCG4
 
TTX PCG6

ZON MARITIM KUALA KEDAH JAYAKAN PROGRAM PEMURNIAN ABU AL-QURAN

KUALA KEDAH, 8 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu telah melaksanakan Program Pelupusan Abu Pembakaran Teks Al-Quran Kali Pertama Tahun 2025 di perairan negeri Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, pelaksanaan program ini telah disempurnakan dengan kehadiran enam pegawai daripada PPD Kubang Pasu serta lapan pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Kedah diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Sikdiq bin Zulkifli.

Program yang julung kali diadakan ini melibatkan pelupusan sebanyak dua tan teks Al-Quran yang telah dibakar dan menghasilkan 200 kilogram abu yang kemudiannya dilupuskan melalui kaedah penenggelaman kira-kira 5.0 batu nautika dari Pulau Payar.

Kesemua abu berkenaan yang diletakkan secara berasingan di dalam 50 bungkusan plastik dibawa menggunakan bot PERKASA 1226 milik Maritim Malaysia.

Terdapat beberapa kaedah khusus yang perlu dilakukan sekiranya ingin melupuskan Al-Quran antaranya ialah dengan membakar Al-Quran tersebut di tempat yang sesuai dan abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut yang deras.

Al-Quran juga boleh dibakar dan kemudian abunya ditanam ke dalam tanah atau Al-Quran yang sudah rosak boleh ditanam ke dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas.

Dengan mengambil kira cara terbaik bagi melupuskan Al-Quran, kesemua abu Al-Quran berjaya dilupuskan dengan kaedah penenggelaman di laut bagi memastikan kesucian dan kemuliaan Al-Quran terpelihara.

Usai pelupusan dilakukan, sesi penyampaian cenderahati di antara PPD Kubang Pasu dan Zon Maritim Kuala Kedah telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih.

 

QURAN KEDAH3
 
QURAN KEDAH5

GAGAL PAMERKAN LESEN PERKAPALAN DALAM NEGERI, BOT TUNDA DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 8 APRIL  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan 5 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada sekitar pukul 12.10 tengah hari tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang belayar menuju laut lepas.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga India. Kedua -dua mereka masing-masing berusia 28 tahun dan 27 tahun.

Bot tunda disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 iaitu Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM5 ribu.

Bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undnag-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Sebarang maklumat serta aduan, insiden atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

 

GAGAL BINTULU2

CURI MASUK DAN ROMPAK HASIL LAUT, DUA VESEL NELAYAN VIETNAM DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUDAT, 7 APRIL – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan dua Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang sedang rancak merompak hasil laut negara di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam yang diterima pihaknya. Susulan maklumat tersebut, dua aset rondaan Zon Maritim Kudat iaitu Bot CENDERAWASIH 10 dan ADAL 04 yang sedang melaksanakan Op Khas Pagar Laut digerakkan ke lokasi berkenaan sekitar pukul 3.15 petang.

“Sebaik tiba di kawasan sasaran kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, pasukan operasi mengesan dua VNA Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram,

“Semasa cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti,” jelas Hasbullah.

Namun, helah tersebut gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat ke atas VNA berkenaan bagi menghentikannya.

Setelah penggeledahan dilakukan, kedua-dua bot nelayan terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan juga turut menemui lebih kurang 45kg balat basah serta sekitar 500 liter minyak diesel dibawa setiap bot berkenaan.

Seramai 12 individu merupakan warganegara Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 53 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke Jeti untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM4 juta. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

Maritim Malaysia merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh masyarakat awam khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Kudat yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan ini.

 

KUDAT VIETNAM2

 

 

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026

KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.

“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.

Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.

Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.

Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.

Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.

Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.

Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

OSTEX MARITIM
 
OSTEX MARITIM2
 
OSTEX MARITIM4
 
OSTEX MARITIM6

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC