TANJUNG SEDILI, 7 OGOS – Seorang kru kapal warga Indonesia maut, manakala empat lagi kru mengalami kecederaan dalam insiden sebuah kapal tangki di perairan Johor Timur petang semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, aduan diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 9.30 malam daripada pemancing yang melalui kawasan tersebut pada jam 6.00 petang melihat sebuah kapal tangki dengan tanda nama MT 108 terbakar di kedudukan 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil.
Sejurus aduan diterima, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan dan KM SATRIA segera diatur gerak ke lokasi kejadian. Turut dibantu aset bot, Perkasa 30 daripada Zon Maritim Tanjung Sedili dan Penggalang 43 daripada Zon Maritim Mersing.
Hasil siasatan awal dan perkongsian maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima mangsa telah dibantu dan dibawa oleh bot yang berada berhampiran ke darat.
Seorang lelaki warga Indonesia, 42 tahun telah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat serta empat lagi mangsa lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan selebihnya warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 49 tahun dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
Setakat ini, jumlah keseluruhan kru masih dalam siasatan MRSC Johor Bahru dan OP CARILAMAT dilaksanakan seluas 8.0 batu persegi melibatkan sebuah kapal dan dua buah bot ronda Maritim Malaysia.





























.svg.png)

