KOTA KINABALU, 30 MEI – Program Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M yang telah dilaksanakan pada 27 Mei 2026 bersamaan 10 Zulhijjah 1447H berjaya menghimpunkan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Sabah dan W.P. Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah serta komuniti setempat dalam suasana penuh muafakat dan semangat kebersamaan.
Program yang berlangsung di Perkarangan Surau An-Najihin, Kuarters JBPM Negeri Sabah itu merupakan kesinambungan kerjasama erat antara IPMN Sabah & W.P. Labuan dan JBPM Negeri Sabah dalam menyemarakkan syiar Islam serta memupuk nilai-nilai murni melalui pelaksanaan ibadah korban.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah IPMN Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali serta Pengarah JBPM Negeri Sabah, YS PKPjB Mohd Pisar bin Aziz, bersama pegawai kanan dan warga kerja kedua-dua agensi yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
Aktiviti penyembelihan, melapah, penyediaan dan pengagihan daging korban dilaksanakan secara gotong-royong, mencerminkan semangat kerjasama, keprihatinan dan perpaduan yang menjadi teras dalam perkhidmatan kepada masyarakat. Daging korban kemudiannya diagihkan kepada warga kerja serta golongan yang memerlukan bagi memastikan manfaat ibadah ini dapat dikongsi bersama.
Dalam ucapannya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata sambutan Aidiladha bukan sahaja mengingatkan umat Islam mengenai erti pengorbanan dan keikhlasan, malah menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara agensi serta masyarakat.
“Ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah menjadi medium untuk memupuk nilai keprihatinan, semangat bekerjasama dan kesediaan berkorban demi kepentingan bersama. Nilai-nilai inilah yang perlu terus diterapkan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara,” katanya.
Majlis diakhiri dengan jamuan ringkas dan sesi agihan daging korban kepada para penerima dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan Aidiladha.
Maritim Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melaksanakan program berbentuk kebajikan, kerohanian dan kemasyarakatan bersama agensi sahabat serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuhkan hubungan strategik dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga kerja.




















.svg.png)

