BINTULU, 7 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda dalam satu rondaan rutin di sekitar perairan Bintulu, petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan pada pukul 1.50 petang di kedudukan 4.6 batu nautika barat laut Kuala Sungai Kemena dalam OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh dua kru termasuk nakhoda warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun.
Bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 474 (2) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu melanggar syarat sah lesen yang telah ditetapkan dengan menggunakan kru warga asing untuk menangkap ikan, di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun.
Bot berserta kru ditahan seterusnya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang serta prosedur keselamatan di laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya melalui talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

