PULAU PINANG, 8 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menyerahkan enam kru warga Indonesia yang hanyut pada Julai lalu di perairan negara kepada wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang di Limbongan Batu Maung Sdn. Bhd. Pulau Pinang pada pukul 11.00 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain menjelaskan, terdahulu kesemua kru terbabit telah ditahan dan diperiksa oleh KM BURAU dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan selepas didapati sebuah vesel nelayan asing (VNA) berada dalam kawasan perairan negara.
“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 17 hingga 52 tahun.”
“Hasil siasatan awal mendapati, vesel itu mengalami kerosakan akibat cuaca buruk sebelum dihanyutkan arus ke perairan Malaysia dan diselamatkan oleh KM BURAU,” tambah beliau.
Sebagai menghormati hubungan diplomatik yang sedia terjalin, pihak Maritim Malaysia telah mengambil langkah menyerahkan kesemua kru tersebut kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang.
Majlis penyerahan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain bersama Pegawai Memerintah KM SEMILANG, Leftenan Komander Maritim Mahadi bin Ismail kepada wakil KJRI iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) Leftenan Komander Fuad Hilmi.
Sementara itu, Fuad Hilmi mewakili Republik Indonesia, merakamkan penghargaan kepada Maritim Malaysia atas kerjasama dan tindakan profesional dalam mengendalikan kejadian tersebut.
Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan serantau khususnya dalam operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi nyawa mangsa yang terlibat dengan insiden di laut dapat diselamatkan.


















.svg.png)

