PORT DICKSON, 6 MEI – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, di perairan Port Dickson semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah berjaya memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.
Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan. Kesemua mereka ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki negara ini.
Selain tangkapan individu, pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup.
Kesemua rampasan dan individu yang ditahan telah dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.
Maritim Malaysia menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 untuk tindakan segera.


















.svg.png)

