MERSING, 12 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah melaksanakan Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi membantu lelaki penduduk Pulau Aur untuk mendapatkan rawatan segera setelah disyaki mengalami masalah apendiks pada pukul 10.00 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Mersing telah memohon bantuan Zon Maritim Mersing untuk membawa pesakit terbabit ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan segera setelah beliau diberikan rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Aur.
Beliau menambah, bot peronda PERKASA 31 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke Pulau Aur untuk memberikan bantuan MEDEVAC yang turut disertai seorang Pegawai Perubatan Klinik Desa Pulau Aur bagi mengiringi pesakit berkenaan.
Pesakit Wan Muhamad Afifudin Wan Md Saad, 36, dipindahkan ke bot Maritim Malaysia dari Klinik Kesihatan Pulau Aur pada pukul 12.00 tengah hari untuk dibawa ke Mersing dan tiba di Jeti Shahbandar Mersing sejam selepas itu.
Pesakit terus dibawa ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulan untuk menerima rawatan lanjut.
Sebarang aduan dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di talian 07-7982529 / 011-53226060 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.





















.svg.png)

