LUMUT, 14 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berjaya merampas sebanyak 25 unit bubu naga dalam Operasi MARDOF yang dijalankan di perairan berhampiran 0.2 batu nautika utara Pulau Talang, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, rampasan tersebut dilakukan selepas pasukan bot ronda Maritim mengesan bendera serta pelampung yang digunakan sebagai penanda lokasi bubu naga berkenaan ketika menjalankan operasi tesebut.
“Penggunaan bubu naga dilarang dan pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” jelas beliau.
Tambah Mohamad Shukri, Maritim Negeri Perak akan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini.
Dalam operasi berasingan pada 11 Ogos 2025 sekitar 11.50 malam, sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B yang menggunakan pukat tunda telah ditahan di perairan 2.8 batu nautika barat laut Pulau Talang kerana melanggar syarat lesen.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut tidak diusahakan sendiri oleh pemilik seperti yang ditetapkan dalam lesen, malah menggunakan dua kru warga Myanmar tanpa permit atau pas yang sah.
Kesemua kru bersama vesel, peralatan menangkap ikan, serta hasil laut telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Kepten Maritim Mohamad Shukri turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menggugat sumber perikanan negara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.





















.svg.png)

