10
Rab, Jun

Grid List

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

DUA BOT ASING CEROBOH PERAIRAN TAWAU, TUJUH WARGA INDONESIA DITAHAN

TAWAU, 15 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua bot asing dari Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Tanjung Tinagat, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali, berkata penahanan dilakukan sekitar pukul 11.30 pagi ketika rondaan rutin Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris menggunakan Kapal Maritim (KM) KIDURONG.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri, pendaftaran bot, mahupun pelepasan pelabuhan,” katanya lagi.

Juragan kedua-dua bot mengaku mereka diarahkan pihak ketiga untuk mengambil barangan dagangan tetapi tidak mengetahui lokasi itu adalah perairan Malaysia.

Kesemua tujuh individu termasuk dua juragan berusia 22 hingga 50 tahun merupakan lelaki warga Indonesia berdasarkan pengakuan mulut.

Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang muatan kecuali beberapa gelen bahan api dipercayai untuk kegunaan perjalanan jauh.

Kedua-dua bot bersama kru ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat. Nilai keseluruhan rampasan termasuk enjin bot dianggarkan RM75 ribu.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan pihak Maritim Malaysia akan merujuk perkara ini kepada Konsulat Republik Indonesia di Tawau bagi pengesahan identiti semua tahanan.

Ariffin tidak menolak kemungkinan wujud unsur sindiket penyeludupan barangan dalam kes ini.

“Maritim Malaysia komited memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tegasnya.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

TAWAU CEROBOH2
 
TAWAU CEROBOH3

OPERASI BERSAMA MARITIM MALAYSIA DAN JABATAN LAUT MALAYSIA DI PERAIRAN LUMUT

LUMUT, 15 September – Maritim Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Negeri Perak telah melaksanakan operasi bersama di sekitar perairan Lumut, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, operasi yang dijalankan secara berkala ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti maritim serta memastikan pematuhan undang-undang di perairan negeri ini.

Operasi tersebut melibatkan seramai sembilan anggota Maritim Malaysia dan tiga anggota JLM dengan fokus kepada pemeriksaan serta penggeledahan ke atas feri penumpang.

Selain itu, risalah keselamatan turut diedarkan bagi menekankan kepentingan pemakaian jaket keselamatan ketika berada di laut.

“Dalam operasi ini, sebanyak lapan pemeriksaan berjaya dilaksanakan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, operasi bersama ini bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan maritim, malah menjadi platform kerjasama erat antara kedua-dua agensi dalam melaksanakan penguatkuasaan.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin perairan negeri Perak kekal selamat dan terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang.

 

APMM JLM2
 
APMM JLM4
 
APMM JLM5
 
APMM JLM3

LATIHAN BERSAMA MARITIM SEAEX THAMAL KE-72/2025 MALAYSIA – THAILAND

PUTRAJAYA, 15 SEPTEMBER – Latihan bersama maritim SEAEX THAMAL ke-72/2025 antara Malaysia dan Thailand telah berlangsung dengan jayanya pada 9 hingga 12 September lalu, melibatkan penyertaan 8 aset laut serta seramai 332 pegawai dan anggota dari kedua-dua negara.

Majlis pembukaan eksesais diadakan di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Kuantan, Pahang pada 9 September, disempurnakan oleh Timbalan Panglima Angkatan Laut Wilayah 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abd Halim Kamarudin bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 2, Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), Laksamana Madya Nares Wongtrakul.

Manakala majlis penutup telah berlangsung pada 12 September di NAC 2, Songkhla, Thailand, disempurnakan oleh Laksamana Madya Nares Wongtrakul bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 3, TLDM, Laksamana Pertama Mohd Norizal bin Fahrudin. Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab.

Latihan SEAEX THAMAL merupakan inisiatif di bawah Combined Maritime Working Group (CMWG) Malaysia – Thailand, bertujuan meningkatkan kerjasama operasi, memperkukuh keselamatan maritim serantau, serta memelihara kepentingan bersama di Teluk Thailand, Laut China Selatan dan Laut Andaman.

Aset laut Malaysia yang terlibat ialah KD TERENGGANU dan KD SRI SABAH (TLDM), KM JUJUR (Maritim Malaysia) serta PA56 (Pasukan Polis Marin – PDRM). Thailand pula mengatur gerak HTMS PATTANI dan HTMS LAEMSING (RTN), PGM 995 (Thai-MECC) serta RTMP 817 (Royal Thai Marine Police).

Selain latihan taktikal di laut, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan serta meningkatkan persefahaman antara pegawai dan anggota kedua-dua negara.

Untuk rekod, SEAEX THAMAL merupakan manifestasi kerjasama erat di antara Malaysia – Thailand dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan keamanan maritim di rantau ini sentiasa terjamin.

SEAEX THAMAL5
 
SEAEX THAMAL7
 
SEAEX THAMAL8
 
SEAEX THAMAL9

MARITIM MALAYSIA TERUSKAN PENCARIAN ANGGOTA ATM HILANG DI PULAU MATAKING

SEMPORNA, 15 SEPTEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di perairan Pulau Mataking sejak 12 September lalu memasuki hari keempat, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali memaklumkan, pencarian yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dibahagikan kepada 12 sektor meliputi keluasan 115 batu nautika persegi (BNp). Sejak hari pertama, jumlah keseluruhan kawasan pencarian telah mencecah 312 BNp.

Antara aset yang digerakkan Maritim Malaysia ialah bot CENDERAWASIH 9, BANGGI 10, BANGGI 9, BANGGI 11, ADAL 18 dan KILAT 52. Operasi turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasukan penyelam TLDM.

Bagi memperluaskan pencarian, Philippine Coast Guard (PCG) turut menjalankan operasi sejak 13 September lalu berikutan faktor arus dan angin yang berkemungkinan membawa mangsa ke perairan Filipina.

Mangsa dikenali sebagai Prebet Muhammad Zulkarnain bin Jaffar, 27, dari Batalion 5 RAMD masih belum ditemui setakat pagi ini. Operasi akan diteruskan dengan perluasan radius pencarian dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu Mohd Khairulanuar turut menegaskan, usaha pencarian akan diteruskan secara bersepadu bersama semua agensi terlibat.

“Maritim Malaysia komited memberi sokongan penuh melalui keupayaan aset laut dan anggota. Harapan kami agar mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya.

Orang awam, khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Semporna, diminta menyalurkan maklumat sekiranya terlihat tanda-tanda berkaitan dengan menghubungi MRSC Kota Kinabalu di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

PENCARIAN ANGGOTA2
 
PENCARIAN ANGGOTA4
 
PENCARIAN ANGGOTA5

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM NEGERI PERAK

LUMUT, 14 September – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C telah ditahan Maritim Negeri Perak semalam kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel berkenaan yang menggunakan pukat tunda ditahan pada pukul 12.20 tengah hari di kedudukan 3.9 batu nautika barat Pulau Pangkor ketika rondaan rutin dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.”

“Tekong warga tempatan bersama tiga kru warga Indonesia juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Vesel bersama kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Shukri dalam pada itu turut menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang menjejaskan sumber perikanan negara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklumbalas segera.

 

VESEL LANGGAR3
 
VESEL LANGGAR
 
VESEL LANGGAR5
 
VESEL LANGGAR2

Lebih banyak artikel..

Grid List

ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YDPA SULTAN IBRAHIM

PUTRAJAYA, 5 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh adat istiadat, tradisi ketenteraan serta gilang-gemilang di Dataran Pahlawan Negara, di sini pagi tadi.

Maritim Malaysia telah diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim bersama barisan pengarah-pengarah bahagian serta pegawai-pegawai kanan agensi melibatkan seramai 30 pegawai.

Istiadat bersejarah ini bukan sahaja melambangkan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan, malah menjadi manifestasi kesetiaan, patriotisme dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi seluruh warga perkhidmatan awam serta pasukan beruniform kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.

Sebagai agensi penguatkuasaan maritim utama negara, Maritim Malaysia sentiasa menjunjung tinggi prinsip taat setia, integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia demi kepentingan negara dan rakyat.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam istiadat ini turut mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam mendukung aspirasi negara serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan tanah air.

Seluruh warga Maritim Malaysia merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah dan menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tahun 2026.

𝗗𝗶𝗿𝗴𝗮𝗵𝗮𝘆𝘂 𝗧𝘂𝗮𝗻𝗸𝘂,

𝗗𝗮𝘂𝗹𝗮𝘁 𝗧𝘂𝗮𝗻𝗸𝘂!

MENGARAK PANJI
 
MENGARAK PANJI2
 
MENGARAK PANJI7
 
MENGARAK PANJI8

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC