25
Sat, Jul

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

LUMUT, 7 MEI – Maritim Negeri Perak terus memperkukuh penguatkuasaan di perairan negara apabila berjaya menahan dua buah vesel pukat tunda dalam dua operasi berasingan di bawah OP PINTAS 1/2021 di sekitar perairan Pulau Pangkor, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, tangkapan pertama melibatkan sebuah vesel pukat tunda kelas C yang ditahan pada jam 7.34 pagi oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika barat daya Pulau Buloh.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar termasuk tekong yang memegang kad UNHCR. Vesel itu disyaki menceroboh zon larangan iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai serta menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Turut dirampas hasil laut dianggarkan seberat 400 kilogram ikan campur dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan peralatan dianggarkan lebih RM3 juta.

Tangkapan kedua pula melibatkan sebuah vesel pukat tunda kelas B yang ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari di kedudukan lebih kurang 5.7 batu nautika barat Pulau Pangkor oleh aset Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 8 batu nautika dari daratan terhampir, menggunakan saiz mata pukat kurang daripada 34 milimeter serta tidak diusahakan oleh pemilik lesen sendiri,” jelas beliau.

Vesel tersebut dikendalikan oleh tiga orang kru termasuk tekong, kesemuanya warganegara Malaysia. Turut ditemui hasil tangkapan ikan campur dianggarkan sebanyak 100 kilogram dengan nilai rampasan termasuk vesel dan peralatan mencecah lebih RM1.5 juta.

Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut bagi kedua-dua kes telah diiring masuk ke Jeti PPM Kampung Acheh dan Jeti LKIM Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Maritim Negeri Perak akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta kelestarian sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.

Pengarah Maritim Negeri Perak turut menegaskan bahawa APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan negara.

“Maritim Negeri Perak akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh perairan negeri ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana vesel yang melanggar syarat lesen atau menceroboh zon tangkapan yang ditetapkan. Ini penting bagi memastikan sumber perikanan negara kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

VESEL BULOH
 
VESEL BULOH2
 
VESEL BULOH6
 
VESEL BULOH4

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

PORT DICKSON, 6 MEI – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, di perairan Port Dickson semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah berjaya memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan. Kesemua mereka ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki negara ini.

Selain tangkapan individu, pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup.

Kesemua rampasan dan individu yang ditahan telah dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.

Maritim Malaysia menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 untuk tindakan segera.

PATI PD

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

LUMUT, 8 APRIL – Maritim Negeri Perak berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B kerana disyaki melanggar syarat lesen serta kesalahan imigresen dalam satu operasi di perairan Pulau Buloh, di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.55 petang hasil rondaan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas vesel tersebut mendapati, vesel kelas B jenis pukat tunda itu dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari daratan terhampir, sekali gus melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau turut berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat dua kru warga Indonesia di atas vesel berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, vesel tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk dua warga tempatan (termasuk tekong) dan dua warga asing.

“Vesel tersebut ditahan pada kedudukan kira-kira 3.0 batu nautika tenggara Pulau Buloh bersama anggaran hasil laut sekitar 900 kilogram ikan campur,” jelas beliau lagi.

Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta telah ditahan dan diiring ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan serta penggunaan kru warga asing tanpa dokumen sah.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan keselamatan perairan sentiasa terjamin,” tegas beliau.

LUMUT TGKP2
 
LUMUT TGKP3
 
LUMUT TGKP4

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN KELUAR 31 TONG DIESEL MELALUI PERAIRAN NEGARA

KUALA PERLIS, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 31 tong minyak diesel di perairan Kuala Perlis, malam tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas bot ronda Mariitm Malaysia yang melaksanakan operasi di bawah OP AMAN, OP TIRIS 3.0 DAN OP KHAS PAGAR LAUT, susulan maklumat risikan bersepadu melibatkan Zon Maritim Kuala Perlis, Zon Maritim Kuala Kedah serta Maritim Negeri Kedah dan Perlis.

“Hasil pemantauan, sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan dikesan kira-kira 0.4 batu nautika dari barat daya Pulau Ketam sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia ditinggalkan tanpa pemilik dan dipercayai berpangkalan dari negara jiran,” jelas Nak Rong.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas sampan tersebut menemukan sebanyak 31 tong minyak diesel dianggarkan 30 liter setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 930 liter dengan nilai rampasan melebihi RM10 ribu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau mengawal barang kawalan tanpa lesen sah atau dalam keadaan mencurigakan.

“Semua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nak Rong menegaskan, aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi bukan sahaja menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan, malah menjejaskan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat yang berhak menikmati subsidi berkenaan.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti jenayah maritim, sekali gus memperkukuh peranan agensi sebagai barisan hadapan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Orang ramai turut diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

DIESEL PERLIS2

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA KURAU, 7 APRIL – Zon Maritim Kuala Kurau selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda terlalu hampir dengan kawasan pantai, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan aktiviti menunda pada jarak kira-kira 7.6 batu nautika dari pantai, iaitu tidak mematuhi had minimum 12 batu nautika yang ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Tindakan ini jelas melanggar syarat lesen yang dikeluarkan dan boleh menjejaskan ekosistem serta keselamatan perairan,” katanya.

Menurut beliau, bot tersebut ditahan di kedudukan kira-kira 7.6 batu nautika barat daya Tanjung Piandang hasil rondaan operasi penguatkuasaan rutin di perairan berkenaan.

“Seramai lima kru lelaki warga tempatan yang berada di atas bot itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Bot bersama semua kru kemudiannya diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perikanan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan sumber laut negara kekal terpelihara.

KURAU TGKP2
 
KURAU TGKP3
 
KURAU TGKP4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON