23
Thu, Apr

MARITIM MALAYSIA PERSIAP SAREX EX LIMBAWAN 2026

KOTA KINABALU, 1 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memulakan persiapan awal bagi Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 melalui lawatan tapak dan Mesyuarat Middle Planning Conference (MPC) yang berlangsung di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Razali @ Razali berkata, SAREX Ex Limbawan 2026 bukan sekadar latihan menguji keupayaan aset dan anggota, malah menjadi medan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi.

“Latihan seumpama ini amat penting bagi memastikan setiap agensi berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi sebarang kecemasan maritim,” katanya.

Beliau berkata, lawatan tapak di Jeti Maritim Malaysia Sepanggar memberi gambaran awal kepada agensi terlibat mengenai kawasan operasi, susun atur lokasi serta keperluan fasiliti bagi memastikan pelaksanaan eksesais berjalan lancar.

Maritim Negeri Sabah selaku tuan rumah eksesais turut menggerakkan penyelarasan awal dengan penglibatan pegawai kanan termasuk Pemangku Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Lahuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak binti Abd Aziz, Penolong Pengarah Kanan MRSC Kota Kinabalu, Leftenan Komander Maritim Hizam bin Zulkifli (hadir secara sidang video), serta Penolong Pengarah MRSC Kota Kinabalu, Leftenan Maritim Mohamad Pairul bin Mohd Bacuk.

Manakala Mesyuarat MPC yang berlangsung di Kota Kinabalu telah dipengerusikan bersama Timbalan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim merangkap selaku Pengarah Latihan, dan wakil MPM Petronas, Mohamad Azam bin Abdullah selaku Timbalan Pengarah Eksesais terbabit.

“Seramai 31 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam sesi tersebut,” tambah beliau.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan telah membincangkan penetapan tarikh eksesais, lokasi operasi, keperluan fasiliti serta penglibatan aset laut dan darat daripada agensi berkaitan termasuk aset daripada agensi sahabat.

Penganjuran SAREX Ex Limbawan 2026 diharap menjadi platform berkesan untuk menguji kecekapan, keupayaan dan tahap koordinasi antara agensi, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi insiden kecemasan maritim.

SAREX LIMBAWAN
 
 SAREX LIMBAWAN2
 
SAREX LIMBAWAN3
 
SAREX LIMBAWAN5

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON