23
Thu, Apr

MARITIM NEGERI PERAK TAHAN VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN

LUMUT, 23 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dalam satu operasi khas Op KHAS TANJUNG 2 / Op KHAS PAGAR LAUT 1/2026 yang dijalankan di perairan negeri ini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia lebih kurang pukul 2.18 petang kira-kira 8.7 batu nautika barat daya Pulau Buloh.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, vesel disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir serta gagal mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima orang kru termasuk tekong merupakan warganegara Myanmar dan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tambah beliau.

Turut dirampas hasil laut campur dianggarkan seberat lebih kurang 400 kilogram. Vesel bersama kru telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut. Vesel tiba di jeti pada pukul 7.15 malam hari yang sama.

Dalam pada itu Kepten Maritim Shukri menegaskan, Maritim Negeri Perak akan terus memperketatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal khususnya pada musim perayaan ini.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang termasuk menangkap ikan di kawasan larangan serta penggunaan kru warga asing tanpa kebenaran. "Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar”, katanya lagi.

Sementara itu beliau turut menjelaskan, kehadiran aset-aset Maritim Malaysia di laut adalah bagi menjamin keselamatan perairan, melindungi sumber perikanan negara serta memastikan komuniti maritim dapat menjalankan aktiviti secara sah dan selamat sepanjang musim perayaan

OP TANJUNG PERAK2
 
OP TANJUNG PERAK4
 
OP TANJUNG PERAK

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON