10
Wed, Jun

VESEL NELAYAN ASING DITAHAN CURI HASIL LAUT NEGARA

LANGKAWI, 23 FEBRUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menggagalkan dan menahan dua Vesel Nelayan Asing (VNA) Thailand yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 3.0, OP GUARD 5.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan 3 batu nautika Barat Laut Pulau Langgun pada pukul 11 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, dua vesel terbabit bersama dua tekong dan tiga orang kru warganegara Thailand yang berumur antara 13 hingga 50 tahun ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Ujar Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM227 ribu dan vesel berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

Romli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

LGK CURI2
 
LGK CURI3
 
LGK CURI4
 
LGK CURI5

MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA VESEL PUKAT JERUT BILIS LANGGAR SYARAT LESEN

LUMUT, 23 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan dua buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam OP KHAS TANJUNG 2 Siri 1/2026 pada petang 19 Februari yang lepas, setelah disyaki menangkap ikan kurang daripada satu batu nautika dari daratan terhampir, sekali gus melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

Pengarah Maritim Negeri Perak, bin Khotob memaklumkan, penahanan telah dilakukan oleh Bot Penggalang 1639 milik Maritim Malaysia ketika rondaan penguatkuasaan dijalankan di perairan barat daya Pulau Katak.

Beliau berkata, vesel pertama telah dikesan beroperasi pada jarak 0.8 batu nautika dari daratan dengan 16 kru terdiri daripada lapan warga tempatan, enam warga India dan dua warga Indonesia.

“Vesel kedua pula dikesan pada jarak 0.5 batu nautika bersama 14 kru iaitu empat warga tempatan dan 10 warga Indonesia,” tambah beliau.

Kedua-dua vesel dan kru diiring ke Jeti LKIM Kg. Acheh dan tiba sekitar 5.30 petang seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.

Kepten Maritim Mohamad Shukri dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran zon dan syarat lesen.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang perikanan dipatuhi serta sumber laut negara terus terpelihara bagi memastikan sumber perikanan negara kekal lestari dan tidak dieksploitasi,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku atau aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi APMM Negeri Perak di talian 05-683 8737 untuk tindakan segera.

BILIS LUMUT2
 
BILIS LUMUT3
 
BILIS LUMUT4
 
BILIS LUMUT5

TIADA KOMPROMI : ZON MARITIM KUALA KURAU TAHAN BOT HARAM, TIGA PATI DITAHAN

KUALA KURAU, 20 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau membuktikan komitmen tegas dalam membanteras pelanggaran undang-undang Perikanan dan Imigresen apabila menahan sebuah bot fiber tanpa pendaftaran bersama tiga kru Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dalam satu operasi khas di kedudukan kira-kira 5.8 batu nautika barat daya Muara Kuala Terong, pukul 5.15 petang pada 17 Februari yang lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot fiber tersebut beroperasi secara haram tanpa nombor pendaftaran yang sah.

Tambah beliau, pemeriksaan mendapati bot berkenaan menggaji ketiga-tiga warga asing terbabit tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.

Selain itu, ketiga-tiga lelaki kru bot berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963.

Kesemua individu terbabit ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut. Bot dan kru telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.

Pihak Maritim Malaysia memberi amaran keras bahawa tindakan undang-undang maksimum akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan melanggar undang-undang negara.

Tegas Komander Maritim Mohd Hairil, penglibatan PATI dalam sektor perikanan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berdegil.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut. Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.

KUALA KURAU TANGKAP4
 
KUALA KURAU TANGKAP3
 
KUALA KURAU TANGKAP2

MAYAT PELANCONG CHINA DITEMUKAN SELEPAS HARI KEDUA PENCARIAN

LANGKAWI, 21 FEBRUARI – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang pelancong warga China yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu berakhir dengan penemuan mayat mangsa pagi ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, mayat mangsa lelaki berusia 49 tahun itu berjaya ditemui pasukan penyelamat di sekitar kawasan pencarian selepas operasi memasuki hari kedua.

“Mayat mangsa ditemui pada pukul 9.45 pagi. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Ming Fei Lan, berusia 49 tahun dan berasal dari Shanghai, China dilaporkan hilang petang semalam oleh seorang kakitangan sebuah resort berhampiran selepas menghubungi talian kecemasan 999 pada pukul 7.35 malam.

Sebaik menerima maklumat berkenaan, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi CARILAMAT pada pukul 9.30 malam dengan menggerakkan Bot PETIR 81 ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal.

“Operasi ditangguhkan pada hari pertama selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk akibat keadaan cuaca semakin gelap.”

“Operasi disambung semula pada pukul 7.30 pagi tadi dengan sektor pencarian diperluaskan berdasarkan analisis arus dan unjuran hanyutan,” katanya lagi.

Berikutan penemuan tersebut, Operasi CARILAMAT secara rasmi ditamatkan pada pukul 11.30 pagi setelah semua aset dan anggota disahkan selamat serta tiada lagi keperluan pencarian di lokasi kejadian.

Romli dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai khususnya pelancong yang berkunjung ke kawasan pantai agar sentiasa berwaspada, menilai keadaan cuaca dan arus sebelum melakukan aktiviti air serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk PPM, JBPM, APM, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), komuniti maritim serta individu yang membantu sepanjang pelaksanaan operasi CARILAMAT sehingga operasi berjaya diselesaikan.

LGK CINA3
 
LGK CINA5
 
LGK CINA4
 
LGK CINA

DUA PEMANCING DITEMUI SELAMAT SELEPAS BOT MENGALAMI KEROSAKAN DI PERAIRAN PULAU SEMBILAN

LUMUT, 20 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan laporan dua pemancing yang dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi ketika keluar memancing, pada pagi 16 Februari yang lalu.

Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat kejadian melalui talian MERS 999 pada jam 11.30 pagi sebelum aset Maritim Malaysia, Bot Penggalang 1639, diatur gerak ke sekitar perairan Pulau Pangkor dan Pulau Sembilan bagi melaksanakan pencarian awal. Operasi turut diselaraskan secara bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta komuniti nelayan tempatan.

Operasi SAR diaktifkan secara rasmi pada jam 4.30 petang dengan penubuhan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) dan sektor pencarian meliputi radius tiga hingga lima batu nautika di lokasi tumpuan. Pada jam 7.30 malam, salah seorang mangsa berjaya dihubungi selepas menerima bantuan daripada bot pancing berhampiran.

Mangsa memaklumkan rakannya masih berada bersama bot yang mengalami kerosakan dan bersauh di perairan Pulau Sembilan.

Bertindak atas maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti sebelum mangsa kedua berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 11.13 malam. Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke jeti dan diserahkan kepada waris. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan tindakan pantas, koordinasi bersepadu antara agensi serta sokongan komuniti maritim setempat dalam memastikan keselamatan di laut sentiasa terpelihara.

Beliau menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik sebelum ke laut, membawa peralatan komunikasi dan navigasi yang berfungsi, jaket keselamatan mencukupi serta memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga atau pihak berkaitan, khususnya sepanjang musim perayaan.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko sekiranya aspek keselamatan diabaikan. Perancangan rapi dan pematuhan kepada prosedur keselamatan adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya segera menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laut.

PEMANCING LUMUT2
 
PEMANCING LUMUT3
 
PEMANCING LUMUT4

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON