KOTA TINGGI, 25 MAC – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan lima anak kapal warga Thailand dalam satu operasi pemindahan perubatan (medevac) selepas kapal kargo yang mereka naiki mengalami kebakaran di bahagian rumah masak, pagi semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 10.20 pagi di kedudukan kira-kira 30 batu nautika timur Tanjung Sedili. Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya oleh anak kapal sebelum bantuan tiba.
Maklumat kecemasan kemudiannya diterima oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada pukul 12.20 tengah hari.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya segera menggerakkan bot PERKASA 30 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
Menurut beliau, kesemua lima kru lelaki berusia antara 25 hingga 61 tahun itu mengalami kecederaan melecur, dengan sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai serius.
“Maritim Malaysia telah menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum melaksanakan operasi medevac bagi membawa kesemua mangsa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memberi bantuan segera kepada komuniti maritim yang memerlukan.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya setelah semua mangsa berjaya dipindahkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.












