08
Tue, Sep

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

LUMUT, 8 APRIL – Maritim Negeri Perak berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B kerana disyaki melanggar syarat lesen serta kesalahan imigresen dalam satu operasi di perairan Pulau Buloh, di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.55 petang hasil rondaan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas vesel tersebut mendapati, vesel kelas B jenis pukat tunda itu dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari daratan terhampir, sekali gus melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau turut berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat dua kru warga Indonesia di atas vesel berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, vesel tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk dua warga tempatan (termasuk tekong) dan dua warga asing.

“Vesel tersebut ditahan pada kedudukan kira-kira 3.0 batu nautika tenggara Pulau Buloh bersama anggaran hasil laut sekitar 900 kilogram ikan campur,” jelas beliau lagi.

Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta telah ditahan dan diiring ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan aktiviti penangkapan ikan di kawasan larangan serta penggunaan kru warga asing tanpa dokumen sah.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan keselamatan perairan sentiasa terjamin,” tegas beliau.

LUMUT TGKP2
 
LUMUT TGKP3
 
LUMUT TGKP4

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA KURAU, 7 APRIL – Zon Maritim Kuala Kurau selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda terlalu hampir dengan kawasan pantai, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan aktiviti menunda pada jarak kira-kira 7.6 batu nautika dari pantai, iaitu tidak mematuhi had minimum 12 batu nautika yang ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Tindakan ini jelas melanggar syarat lesen yang dikeluarkan dan boleh menjejaskan ekosistem serta keselamatan perairan,” katanya.

Menurut beliau, bot tersebut ditahan di kedudukan kira-kira 7.6 batu nautika barat daya Tanjung Piandang hasil rondaan operasi penguatkuasaan rutin di perairan berkenaan.

“Seramai lima kru lelaki warga tempatan yang berada di atas bot itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Bot bersama semua kru kemudiannya diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perikanan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan sumber laut negara kekal terpelihara.

KURAU TGKP2
 
KURAU TGKP3
 
KURAU TGKP4

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

LUMUT, 6 APRIL – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan menerusi OP SAYONG 1/2018 dan OP KHAS TANJUNG 2, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 7.75 batu nautika tenggara Pulau Buloh sekitar pukul 7.10 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar termasuk tekong yang berusia antara 36 hingga 42 tahun.

Tambah beliau lagi, kesemua kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan iaitu 15 batu nautika dari daratan terhampir, selain gagal mengemukakan permit kerja yang sah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai RM801,200.00 telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

“Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta pelanggaran syarat lesen perikanan,” katanya.

LUMUT VESSEL2
 
LUMUT VESSEL4
 
LUMUT VESSEL3

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

LANGKAWI, 6 APRIL – Sebuah kapal persiaran yang menjalankan aktiviti sunset cruise ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis selepas dikesan melanggar syarat keselamatan dengan membawa penumpang melebihi had ditetapkan, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 5.20 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika rondaan rutin dijalankan di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur Pulau Bumbon Besar.

“Pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” jelas beliau.

Tambah beliau, kapal persiaran tersebut dikendalikan seorang nakhoda bersama lima kru warga tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

Katanya, semua individu terbabit bersama vesel dan barang kes telah ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi tujuan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Laksamana Pertama Maritim Romli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan keselamatan maritim, khususnya yang melibatkan aktiviti pelancongan yang berisiko terhadap nyawa penumpang.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan serta memelihara kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

CRUISE LGK
 
CRUISE LGK3
 
CRUISE LGK4

MESYUARAT IPC SAREX LANG BRONOK 2026, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI

LANGKAWI, 2 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menganjurkan Mesyuarat Initial Planning Conference (IPC) bagi pelaksanaan Maritime Search and Rescue Exercise (SAREX) 'Lang Bronok' 2026 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Langkawi, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, mesyuarat ini merupakan langkah awal dalam penyelarasan eksesais berskala besar yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun hingga 2 Julai 2026 di perairan Langkawi, dengan penekanan kepada senario Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) atau operasi menyelamat mangsa secara besar-besaran di laut.

"Penganjuran SAREX 'Lang Bronok' 2026 melibatkan kerjasama pelbagai agensi strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi teknikal seperti Jabatan Laut Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)", tambahnya.

Selain itu, penglibatan sektor swasta seperti PETRONAS, YTL Langkawi Cement, SAPURA Research dan operator feri tempatan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran eksesais ini.

"Eksesais ini bukan sekadar latihan rutin, sebaliknya merupakan platform penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi serta keupayaan tindak balas pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar di laut," ujarnya.

Mesyuarat IPC ini turut menjadi medan perbincangan strategik dalam memperincikan peranan setiap agensi, termasuk aspek komunikasi, pengurusan mangsa, kawalan pencemaran serta penyelarasan maklumat awam agar setiap tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan efektif.

Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti maritim dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

LANG BRONOK
 
LANG BRONOK3
 
LANG BRONOK5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON