25
Sat, Jul

CUBAAN SELUDUP KAYU GAGAL, MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA BOT, RAMPAS 24 BATANG KAYU DISYAKI HASIL CURI

LAHAD DATU, 26 FEBRUARI – Cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi gagal apabila dua bot berjaya dipintas dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Lahad Datu, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berwarna merah jambu dan hijau itu dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0 hasil maklumat risikan.

“Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot memecut laju dan melarikan diri ke dalam paya bakau ,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan. Kesemua kayu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi.

Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan RM8 ribu. Kesemua kayu dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.


KAYU SABAH

TIGA DISYAKI POSITIF DADAH, DUA DITAHAN KES PERIKANAN DALAM OPERASI BERSEPADU DI PERAIRAN PERLIS

KUALA PERLIS, 25 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis menahan lima individu serta sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam dua operasi berasingan di sekitar perairan Perlis, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, operasi yang dilaksanakan di bawah OP AMAN itu memfokuskan pencegahan penyalahgunaan dadah serta pematuhan undang-undang perikanan di perairan negara.

Jelas beliau, dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 12.00 tengah malam, Bot PENGGALANG 1642 berjaya menahan dua VNT pada kedudukan antara enam hingga sembilan batu nautika barat daya Kuala Sanglang dan Kampung Sungai Padang, Perlis.

Pemeriksaan ke atas VNT terbabit mendapati, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30 tahun disyaki positif dadah jenis Methamphetamine.

Sementara itu, sebuah lagi VNT bersama dua lelaki tempatan berumur antara 48 hingga 58 tahun turut ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen yang telah tamat tempoh.

Tambah beliau, Bot PERKASA 1227 turut menahan sebuah lagi VNT pada jarak 7.6 batu nautika barat daya Kuala Sanglang. Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan berumur antara 29 hingga 44 tahun disyaki positif dadah jenis Methamphetamine.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan Perlis sentiasa terpelihara,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen vesel serta di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283].

Nilai keseluruhan vesel yang ditahan dianggarkan hampir RM130 ribu.

Dua Orang Yang Disyaki (OYDS) dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut, manakala tiga individu yang disyaki positif dadah diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara kekal selamat serta bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan pelanggaran undang-undang perikanan.


DADAH MNKP
 
DADAH MNKP2
 
DADAH MNKP4
 
DADAH MNKP5

50 KG GANJA DIRAMPAS, CUBAAN SELUDUP GAGAL DI KUALA PERLIS

KUALA PERLIS, 23 FEBRUARI – Cubaan sindiket dadah membawa masuk kira-kira 50 kilogram ganja melalui laluan laut gagal apabila dirampas pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.

Rampasan dibuat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Zon Maritim Kuala Perlis ketika melaksanakan rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 3.0 selepas menerima maklumat berhubung objek mencurigakan yang terdampar di pantai.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, hasil pemeriksaan menemui tiga guni berisi 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja.

“Dadah tersebut dipercayai cuba diseludup masuk melalui laluan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya lagi.

Tambah beliau, jumlah rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM150 ribu bergantung kepada kualiti dan kaedah pengedaran.

Jelas Romli lagi, jika terlepas ke pasaran, bekalan tersebut mampu dipecahkan kepada puluhan ribu paket kecil untuk pengguna tempatan, sekali gus memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia akan mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis, selain memperkukuh perkongsian risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang pengedaran dadah oleh sindiket di dalam negara ini.

Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

Sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di 04-9851072 dan 04-9851162 untuk tindakan segera.

GANJA PLS3
 
GANJA PLS5
 
GANJA PLS2
 
GANJA PLS4

TIDAK SERIK, SEBUAH VESEL PENUMPANG DITAHAN SEKALI LAGI ATAS KESALAHAN SAMA

MIRI, 25 FEBRUARI – Sebuah vesel penumpang telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri pada kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika barat laut Kuala Sungai Miri atas kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1953 semasa diperiksa sekitar pukul 12.20 tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, vesel penumpang terbabit pernah disabitkan kesalahan di bawah Ordinan yang sama pada tahun lalu, telah ditahan sekali lagi oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam OP PERMAI 01/2019, OP TIRIS 3.0 dan OP PELANTAR MERAH 3/2023.

“Semakan mendapati, vesel penumpang itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1953 kerana melanggar syarat sah lesen dengan beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi serta membawa kru selain yang dibenarkan semasa diperiksa,” katanya.

Nakhoda berumur 55 tahun dan seorang kru berumur 43 tahun serta vesel telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV), Miri dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Vesel serta kru bot tersebut akan disiasat dibawah Kaedah 12 (Boat Rules 1953) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana dikehendaki oleh Pegawai Pelabuhan. Jika didapati bersalah, pemilik serta nakhoda boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.00 dan kompaun RM 500.00 berdasarkan Seksyen 484, ordinan yang sama.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim, aduan atau insiden kecemasan di laut, boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri melalui talian 085-649111, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk maklum balas dan tindakan segera.

 

VESEL MIRI2

VESEL NELAYAN ASING DITAHAN CURI HASIL LAUT NEGARA

LANGKAWI, 23 FEBRUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menggagalkan dan menahan dua Vesel Nelayan Asing (VNA) Thailand yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 3.0, OP GUARD 5.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan 3 batu nautika Barat Laut Pulau Langgun pada pukul 11 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, dua vesel terbabit bersama dua tekong dan tiga orang kru warganegara Thailand yang berumur antara 13 hingga 50 tahun ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Ujar Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM227 ribu dan vesel berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

Romli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

LGK CURI2
 
LGK CURI3
 
LGK CURI4
 
LGK CURI5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON