08
Tue, Sep

LATIHAN SARCOMEX-26 PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MARITIM MALAYSIA DAN JCG

PUTRAJAYA, 13 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang mencari dan menyelamat (CARILAMAT) menerusi pelaksanaan Search and Rescue Communication Exercise 2026 (SARCOMEX-26) bersama Japan Coast Guard (JCG) yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya, hari ini.

Latihan komunikasi berkala itu melibatkan pegawai-pegawai JCG bersama pegawai Maritim Malaysia yang kini sedang mengikuti program penempatan latihan di atas kapal JCG Itsukushima, yang sedang dalam pelayaran menuju ke Filipina sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.

SARCOMEX-26 dilaksanakan menerusi komunikasi radio maritim secara langsung bagi menguji kecekapan prosedur komunikasi operasi, penyelarasan maklumat serta tindak balas antara kedua-dua agensi sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut.

Sepanjang latihan, kedua-dua pihak bertukar maklumat kritikal meliputi status pelayaran, keadaan kru serta penyelarasan operasi mencari dan menyelamat, sekali gus mengukuhkan tahap interoperabiliti dan keberkesanan koordinasi operasi rentas sempadan.

Latihan berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dan Japan Coast Guard dalam memperkasakan kesiapsiagaan operasi CARILAMAT, di samping memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama keselamatan maritim di peringkat serantau.

Turut hadir menyaksikan eksesais komunikasi tersebut ialah First Secretary (Coast Guard and Maritime Affairs), Kedutaan Jepun di Malaysia, Issei Nishimura, sebagai simbol sokongan terhadap hubungan diplomatik serta kerjasama erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun dalam bidang keselamatan maritim.

Maritim Malaysia komited untuk terus memperluas kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa menerusi latihan bersama, perkongsian kepakaran dan pemantapan keupayaan operasi bagi memastikan keselamatan pelayaran, keberkesanan operasi mencari dan menyelamat serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik.

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

PULAU PINANG, 4 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) ke atas seorang kru kapal warga Filipina yang mengalami kecederaan di hujung jari kelingking tangan kanan ketika berada di atas kapal PHOENIX JAMNAGAR di perairan Pulau Pinang, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli, berkata Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya menerima maklumat daripada ejen kapal pada jam 11.00 malam semalam memohon bantuan membawa mangsa bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa dikenali sebagai John Mark Malagamba, 39 tahun, warga Filipina, yang bertugas di atas kapal tanker berdaftar di bawah bendera Singapura, sedang dalam pelayaran dari Amerika Syarikat (USA) menuju ke Singapura ketika insiden berlaku.

Susulan menerima maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia iaitu KM Sikuati telah diatur gerak pada awal pagi hari ini ke lokasi pertemuan. Pada jam 5.45 pagi, KM Sikuati berjaya merapat di kapal PHOENIX JAMNAGAR bagi melaksanakan proses pemindahan mangsa dengan selamat.

KM Sikuati seterusnya mengiringi mangsa hingga ke Jeti Limbungan Batu Maung, sebelum mangsa dikejarkan menggunakan ambulans bersama ejen kapal ke Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Maritim Malaysia kekal beriltizam tinggi dalam melaksanakan bantuan kecemasan serta memastikan tahap keselamatan komuniti maritim dan warga perkapalan di perairan negara sentiasa berada dalam keadaan terjamin.

MEDEVAC PP2
 
MEDEVAC PP3
 
MEDEVAC PP4

 

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

KUCHING, 31 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) ke atas seorang kru kapal warga China yang mengalami kecederaan di pergelangan tangan ketika berada di atas kapal CX GEMMA di perairan Tanjung Po, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Mohd Khairi bin Abd Aziz, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima panggilan daripada ejen kapal pada jam 11.40 pagi memohon bantuan membawa mangsa bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa dikenali sebagai Xian Xu, 36 tahun, warga China, yang bertugas di atas kapal jenis Bulk Carrier berdaftar di bawah bendera Kepulauan Marshall. Ketika kejadian, kapal tersebut berada pada kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika di utara Tanjung Po.

Susulan menerima maklumat, aset Maritim Malaysia KILAT 35 telah diatur gerak pada jam 12.20 tengah hari ke lokasi kapal. Pada jam 12.50 tengah hari, bot berjaya merapat di kapal CX GEMMA bagi melaksanakan proses pemindahan mangsa dengan selamat.

Maritim Malaysia mengiringi mangsa hingga ke Jeti KOMTAS, seterusnya dibawa oleh ejen kapal ke Hospital Borneo Medical Centre (BMC), Kuching bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam memberikan bantuan kecemasan serta memastikan keselamatan komuniti maritim dan warga perkapalan yang beroperasi di perairan negara sentiasa terpelihara.

MEDEVAC KUCHING2
 
MEDEVAC KUCHING3

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

KUCHING, 2 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) susulan laporan sebuah bot laju yang terbalik berhampiran Pantai Teluk Pasir, Santubong baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Mohd Khairi bin Abd Aziz berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima panggilan kecemasan pada jam 3.45 petang daripada seorang pengadu yang memaklumkan sebuah bot laju telah terbalik bersama lapan individu di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur laut Pantai Teluk Pasir, Santubong. Susulan laporan tersebut, bot ronda KILAT 22 telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Pada jam 4.49 petang, KILAT 22 berjaya menemui kesemua lapan mangsa di lokasi yang dilaporkan. Difahamkan, mangsa-mangsa telah berenang ke kawasan daratan dan batu berhampiran selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat keadaan laut yang bergelora.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti KOMTAS. Sebuah ambulans daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) tiba di jeti pada jam 6.00 petang bagi menjalankan saringan kesihatan terhadap mangsa. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan stabil. Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 6.45 petang.

Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan kecemasan di laut dan menasihati komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut. Sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak.

INSIDEN SELAMAT KCH2
 
INSIDEN SELAMAT KCH3
 
INSIDEN SELAMAT KCH4

 

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

MERSING, 1 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Mersing (IPMZ Mersing) telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan peraturan dalam aktiviti island hopping di perairan Mersing, semalam.

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Majlis Daerah Mersing (MDM), Pejabat Daerah Mersing, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Laut Malaysia bagi memastikan tahap keselamatan pelancong sentiasa terpelihara dan semua pengusaha bot pelancong mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, operasi itu turut bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara agensi penguat kuasa di daerah ini selain memastikan pematuhan terhadap syarat lesen pengendali bot pelancong, peraturan keselamatan pelayaran serta pemeliharaan sumber marin di perairan Mersing.

Sepanjang operasi dijalankan, pemeriksaan telah dilaksanakan ke atas bot-bot pelancong yang menjalankan aktiviti island hopping meliputi dokumen pengendali, lesen vesel, peralatan keselamatan, kapasiti penumpang dan tahap pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan. Tumpuan turut diberikan kepada penggunaan jaket keselamatan dan aspek kesiapsiagaan pengusaha bot dalam menghadapi sebarang kecemasan di laut.

Menurut beliau, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti pelancongan maritim di daerah Mersing berjalan dengan selamat, teratur dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai serta pengusaha bot pelancong supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan semua pengguna laut.

Maritim Malaysia sentiasa komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan perairan negara, melindungi komuniti maritim serta menyokong pembangunan industri pelancongan maritim yang selamat, mampan dan berdaya saing di daerah Mersing.

OP BERSEPADU MERSING6
 
OP BERSEPADU MERSING7
 
OP BERSEPADU MERSING4
 
OP BERSEPADU MERSING2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON