08
Tue, Sep

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

KOTA TINGGI, 5 SEPTEMBER – Mangsa terakhir, Mohamad Haiman Fitri Supian yang dilaporkan hilang dalam kejadian lemas di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, berjaya ditemukan pada jam 3.05 petang hari ini oleh orang awam, kira-kira 3.1 batu nautika dari lokasi kejadian.

Penemuan mangsa telah disahkan oleh waris, sekali gus menamatkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas memasuki hari keempat.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, sektor pencarian pada hari ini telah diperluaskan sehingga 139 batu nautika persegi berdasarkan penilaian semasa dengan mengambil kira faktor arus, keadaan cuaca dan laut serta perkembangan pencarian.

“Sepanjang empat hari operasi, semua agensi yang terlibat telah memberikan komitmen tinggi dengan menggembleng anggota, aset dan kepakaran masing-masing bagi memastikan usaha pencarian dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa atas kejadian yang menimpa.

Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi.

Penghargaan turut ditujukan kepada komuniti maritim setempat, khususnya nelayan, pengusaha bot dan orang awam yang membantu pasukan operasi dengan menyalurkan maklumat serta melaksanakan pemantauan di kawasan perairan yang dikenal pasti.

“Penglibatan komuniti maritim setempat amat membantu usaha pencarian kerana mereka mempunyai pengetahuan mengenai keadaan perairan di kawasan berkenaan, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan disalurkan dengan lebih cepat kepada pasukan CARILAMAT,” jelasnya.

Dengan penemuan mangsa terakhir, operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 5.00 petang dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) dibubarkan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan perairan, khususnya ketika keadaan laut bergelora, ombak tinggi, arus deras atau cuaca buruk.

Orang ramai juga diseru agar mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan laut sebelum merancang sebarang aktiviti di kawasan pantai atau perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG

BATU PAHAT, 5 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat berjaya merampas sebanyak 600 kartrij vape yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ‘Piu Piu’ dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor, pagi semalam.

Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal berkata, dalam kejadian tersebut, sebuah bot fiber dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika bot peronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan di perairan berkenaan.

“Sejurus menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, suspek yang berada di atas bot tersebut bertindak melarikan diri bersama bot fiber berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati terdapat sebuah beg berwarna hitam mengandungi lebih 600 kartrij vape yang mengandungi cecair disyaki mengandungi bahan dadah jenis ‘Piu Piu’, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM160,000,” katanya.

Kesemua barang rampasan telah dibawa ke IPMZ Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut. Sampel cecair vape berkenaan akan dihantar untuk analisis makmal bagi mengesahkan kandungan bahan yang disyaki sebagai dadah.

Maritim Malaysia menyeru orang awam serta komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi membantu membenteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT

KOTA TINGGI, 3 SEPTEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengesan mangsa yang masih hilang dalam kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, diteruskan hari ini bermula jam 7.00 pagi.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru itu telah diperluaskan meliputi kawasan seluas 7.0 batu nautika persegi berdasarkan perkembangan semasa operasi.

Pada kira-kira jam 1.53 petang, satu lagi mangsa telah ditemukan dalam sektor pencarian oleh sebuah bot rekreasi yang turut menyertai operasi pencarian. Mangsa ditemukan kira-kira 900 meter dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Thaqif Rayyan bin Rumainoor. Pengecaman telah dilakukan oleh waris sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Aset yang terlibat dalam operasi pencarian hari ini terdiri daripada bot PETIR 50 Maritim Malaysia, bot KCB 24 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bot PAC253 Polis Diraja Malaysia (PDRM), bot PAR 6 Pasukan Polis Marin (PPM), bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta lima bot nelayan dan rekreasi daripada komuniti setempat.

Operasi CARILAMAT kini diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang. Kawasan pencarian akan terus diperluaskan dan diselaraskan berdasarkan keadaan cuaca, keadaan laut serta perkembangan semasa operasi.

Maritim Malaysia bersama agensi-agensi terlibat akan terus menggembleng aset dan kekuatan yang bersesuaian bagi memastikan usaha mencari dan menyelamat dilaksanakan secara berterusan sehingga kesemua mangsa berjaya ditemukan.

SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA

 

KOTA TINGGI, 4 SEPTEMBER — Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengesan dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, diteruskan memasuki hari ketiga hari ini.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC)

Johor Bahru itu dimulakan semula pada jam 7.00 pagi dengan keluasan sektor pencarian diperluaskan kepada kira-kira 103 batu nautika persegi berdasarkan perkembangan dan penilaian semasa operasi.

“Operasi pencarian hari ini melibatkan kekuatan seramai 61 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi turut mendapat bantuan komuniti setempat melalui empat bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat yang bersama-sama membantu usaha pencarian di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, aset yang digerakkan dalam operasi hari ini terdiri daripada dua aset Maritim Malaysia, iaitu bot PETIR 50 dan bot PERKASA 29, bot KCB 24 JBPM, bot PAC 253 PDRM, bot ronda PPM PAR 6, sebuah bot aluminium APM serta empat bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat.

“Pada kira-kira jam 11.15 pagi, satu lagi mangsa telah ditemukan dalam sektor pencarian oleh sebuah bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat, kira-kira 0.5 batu nautika ke arah tenggara perairan Tanjung Siang.

“Mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan oleh bot PETIR 50 sebelum dipindahkan ke bot Kevlar KCB 24 untuk dibawa ke pantai.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia dan dikenal pasti sebagai Muhammad Adib Hafiy bin Kamal selepas proses pengecaman oleh waris. Jasad mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, operasi pencarian akan terus diperluaskan dan diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa, keadaan cuaca, laut dan arus serta maklumat yang diterima daripada pasukan di lapangan.

Keadaan cuaca di kawasan operasi dilaporkan dengan angin dari arah selatan barat daya (SBD) pada kelajuan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara 1.0 hingga 1.5 meter.

Maritim Malaysia bersama agensi-agensi terlibat akan terus menggembleng segala aset dan kekuatan yang bersesuaian bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat seorang mangsa terakhir yang masih hilang.

Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat serta komuniti setempat, khususnya Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat, yang terus memberikan kerjasama dalam membantu operasi CARILAMAT ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan atau petunjuk yang boleh membantu usaha pencarian diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu melancarkan operasi.

BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

MERSING, 3 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Mersing telah menahan sebuah bot penumpang yang disyaki melakukan pelbagai pelanggaran peraturan keselamatan dalam satu operasi penguatkuasaan di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat laut Pulau Besar, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Mersing, Leftenan Maritim Hazuan bin Joha berkata, bot penumpang berkenaan dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan Op Jaksa dan Op Tiris 4.0 di perairan tersebut sebelum dipintas untuk pemeriksaan kira-kira jam 1.00 tengah hari.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua kru warga tempatan berusia 22 dan 35 tahun. Siasatan awal mendapati bot berkenaan disyaki membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan serta beroperasi tanpa bilangan kru yang mencukupi sebagaimana ditetapkan.

Kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Bot 1953 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1952).

Nakhoda, kru serta bot penumpang berkenaan telah ditahan dan diiring ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Mersing sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Leftenan Maritim Hazuan berkata, semua pengusaha bot penumpang dan bot pelancong diingatkan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, peraturan keselamatan serta undang-undang maritim yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terpelihara.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan keselamatan dan perundangan maritim. Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna perairan serta kelancaran aktiviti maritim sentiasa terjamin," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau jenayah maritim serta insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON