09
Wed, Sep

EMPAT KRU NELAYAN DITAHAN BERSAMA SERBUK KRISTAL DISYAKI DADAH

KUALA KURAU, 1 MAC - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas beberapa paket plastik lut sinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine di kedudukan 1.56 batu nautika barat laut Kuala Terong, Perak pada sekitar jam 11.15 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya'akup berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan jenis gentian kaca sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, bot itu nekad untuk meloloskan diri namun berjaya dipintas dan diberhentikan.

Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan warga Myanmar dan seorang kru warga tempatan yang merupakan tekong berumur antara 25 hingga 60 tahun berada di atas bot.

Pemeriksaan lanjut mendapati, ketiga-tiga kru nelayan warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu, bot juga tidak memiliki lesen yang sah dan sebanyak 100 unit bubu naga dianggarkan bernilai RM 7,000 dengan nilai RM 70 seunit turut ditemukan.

Kesemua kru nelayan, bot dan bubu naga ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau.

Tindakan tekong berusaha untuk meloloskan diri telah mendorong Maritim Malaysia untuk melakukan pemeriksaan lanjut di jeti.

Hasil pemeriksaan pada barangan peribadi kesemua kru nelayan menemukan beberapa paket plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal dianggarkan seberat 60 gram disyaki dadah jenis Methamphetamine.

Hablur kristal yang dianggarkan bernilai RM 8,400 dengan nilai RM 140 untuk setiap gram itu telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta dadah berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 11 (3)(b) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 03 01 at 10.54.35   WhatsApp Image 2023 03 01 at 10.54.36 
WhatsApp Image 2023 03 01 at 10.54.36 1   WhatsApp Image 2023 03 01 at 10.54.36 2

BOT NELAYAN TEMPATAN KELAS B1 LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN

GEORGETOWN, 28 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pada sekitar jam 7.55 petang semalam.
 
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.
 
Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Kurau, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 6.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang lapan batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.
 
Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan berumur di antara 38 hingga 63 tahun.
 
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di Kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen iaitu kurang lapan batu nautika dari Pulau Kendi.
 
Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 200 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
 
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
 
Sebarang aduan, salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
 
Penahanan kes berkenaan adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia. Bagi memahami lebih dekat tugas yang dilaksanakan oleh agensi ini, seluruh rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menyaksikan Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang yang masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.
 
WhatsApp Image 2023 02 28 at 09.41.36 1
 
WhatsApp Image 2023 02 28 at 09.41.36
 

OP CARILAMAT | USAHA MENCARI SEORANG PEMANCING JATUH LAUT DITERUSKAN

PELABUHAN KLANG, 24 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Op CARILAMAT) seorang pemancing yang telah jatuh laut di pesisir pantai di perairan Sementa pagi semalam.
 
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru ini disambung pada hari kedua bermula jam 7.00 pagi tadi dengan memperluaskan sektor pencarian meliputi 16 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sementa.
 
Cuaca di lokasi dilaporkan hujan dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 0.5 hingga 1.0 meter awal pagi tadi.
 
Bot PERKASA 35 telah diatur gerak bersama aset agensi sahabat yang lain iaitu bot Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti nelayan setempat.
 
Terdahulu, Op CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritim Malaysia telah diaktifkan pada 23 Februari (semalam) bermula jam 11.20 pagi.
 
Dalam masa sama, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah diwujudkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar Selangor.
 
Mangsa, Raiman bin Suyud, 54, difahamkan bersama seorang rakan telah keluar memancing menggunakan sampan pada 22 Februari (Rabu) jam 11.30 malam telah dilanggar oleh pukat tunda yang ditarik oleh sebuah bot tanpa lampu navigasi lebih kurang jam 5.30 pagi menyebabkan sampan pecah dan kedua-dua pemancing terjatuh ke dalam laut.
 
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju celoreng askar bewarna hijau dan berseluar Panjang berwarna putih sebelum dilaporkan jatuh laut.
 
Mangsa difahamkan tidak boleh berenang mengalami kekejangan kaki dan dipercayai telah dihanyutkan arus deras, manakala rakannya telah berenang ke pesisir pantai dan diselamatkan oleh bot pemancing berdekatan.
 
Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut. 
 
Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
 
 
WhatsApp Image 2023 02 23 at 20.25.11 
 
 WhatsApp Image 2023 02 23 at 20.25.11 1
 
 WhatsApp Image 2023 02 24 at 11.15.36
 

PERJAWATAN MARITIM MALAYSIA DIJANGKA DIISI SEPENUHNYA MENJELANG 2026

KUANTAN, 25 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menjayakan latihan asas kepada 788 pegawai dan 2,528 pegawai lain-lain pangkat penguatkuasa Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (ASMAS), Kuantan Pahang sejak ia mula beroperasi pada 2 Mac 2013.

Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dato’ Haji Ruji bin Haji Ubi berkata sempena Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 Tahun 2022 yang diadakan pada hari ini, seramai 78 orang pelatih terdiri daripada 61 lelaki dan 17 wanita telah berjaya menamatkan latihan selama sembilan bulan di akademi ini.

Daripada jumlah berkenaan, Maritim Malaysia kini telah mengisi perjawatan sebanyak 90.7 peratus daripada jumlah perjawatan yang diluluskan.

Beliau turut menjangkakan sebanyak 490 perjawatan yang masih belum diisi akan dipenuhi menjelang tahun 2026. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 Tahun 2022 di Kuantan hari ini.

Turut hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman.

Dato’ Haji Ruji memaklumkan, selain kursus asas kepada pegawai baharu, AMSAS turut menganjurkan kursus lanjutan kepada pegawai dan anggota bagi meningkatkan kompetensi mereka dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan perairan negara.

Beliau turut berkata selain warga Maritim Malaysia, AMSAS turut menyediakan latihan kepada hampir 150 pegawai daripada jabatan-jabatan dari Negara-Negara Asean, Timur Tengah, Afrika dan Mexico.

Melihat kepada kepentingannya, Dato’ Haji Ruji menegaskan KDN pada tahun lalu telah memperuntukan sebanyak RM 1.4 juta bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan akademi latihan itu.

Bagi tahun 2023, beliau memaklumkan KDN akan menyalurkan lebih banyak peruntukkan untuk projek-projek utama supaya AMSAS menjadi institusi latihan maritim yang kondusif.

Dato’ Haji Ruji terdahulu ketika penyampaikan ucapan, beliau turut menasihati semua warga Maritim Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada integriti yang tinggi, amanah, jujur dan meletakkan disiplin yang tinggi ketika menjalankan tugas.

Hasrat ini kata beliau seiring dengan dasar Kerajaan Malaysia Madani, iaitu mengamalkan tadbir urus yang baik sekaligus menjadikan Malaysia Negara Bebas Rasuah.

POP AMSAS   POP AMSAS 2
POP AMSAS 3   POP AMSAS 6
POP AMSAS 7   POP AMSAS 8
POP AMSAS 12   POP AMSAS 13

BOT NELAYAN DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, KRU DISYAKI POSITIF DADAH

PELABUHAN KLANG, 20 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 di perairan Sekinchan, sekitar jam 10.40 pagi pada 18 Februari 2023.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kelas B1 itu dikesan oleh KM BAGAN DATUK pada kedudukan 13 batu nautika barat daya Sekinchan.

Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Myanmar berusia antara 33 hingga 41 tahun telah menjalankan aktiviti perikanan selama dua hari dan kesemua mereka dalam keadaan khayal.

Pemeriksaan lanjut telah menemukan dua keratan penyedut minuman serta satu plastik jernih mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat lima gram dan bong kaca yang diletakkan di tempat tidur tekong.

Kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dibayar RM 70 sehari untuk bekerja di bot berkenaan.

Turut ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur dan peralatan perikanan iaitu pukat tunda.

Bot, tekong dan kru bersama bahan terlarang dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Pihak Maritim Negeri Selangor mempelawa seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bagi mengetahui peranan dan tanggungjawab sebenar Maritim Malaysia.

Melalui pemahaman yang telah dimiliki, Maritim Malaysia berharap masyarakat akan dapat bekerjasama dengan pihak agensi dalam membanteras jenayah di perairan negara.

WhatsApp Image 2023 02 20 at 12.50.50 
 
 WhatsApp Image 2023 02 20 at 12.50.50 1

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON