08
Tue, Sep

CUBAAN SELUDUP BENIH KERANG BERNILAI RM134 RIBU GAGAL, WARGA THAILAND ANTARA DITAHAN

KUALA KEDAH, 7 FEBRUARI – Cubaan membawa benih kerang secara haram ke negara jiran berjaya digagalkan, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar pukul 1.40 petang, hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.

Beliau turut berkata, bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu itu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.

Menurut Azreyanti lagi, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram, tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Sementara itu dalam operasi yang sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang tersebut.

Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM132 ribu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Zon Maritim Kuala Kedah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara, sambil menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau sebarang aktiviti jenayah di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-731 0579 untuk tindakan segera.

KERANG KUALA2
 
KERANG KUALA
 
KERANG KUALA5
 
KERANG KUALA6

BOT PENUMPANG TANPA LESEN SAH DITAHAN MARITIM NEGERI PULAU PINANG

PULAU PINANG, 6 FEBRUARI – Sebuah bot penumpang yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang kira-kira 0.7 batu nautika di barat Pulau Jerejak, petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan tersebut dibuat hasil maklumat dan aduan awam yang diterima berhubung aktiviti bot penumpang yang mencurigakan di sekitar perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa seramai 28 penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan 19 perempuan, selain seorang kapten serta tiga kru yang mengendalikan bot berkenaan. Kesemua individu terbabit merupakan warga tempatan,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati, bot penumpang tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 474(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa dan mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

Sehubungan itu, bot penumpang berkenaan bersama kru telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna perairan serta pematuhan undang-undang maritim sentiasa dipatuhi.

BOT PENUMPANG XLESEN

MARITIM NEGERI SELANGOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN ASET MENERUSI LATIHAN PRA-PTKK KM DANGA DAN KM BAGAN DATUK

PELABUHAN KLANG, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor terus memperkasa kesiapsiagaan operasi apabila melaksanakan Latihan Pra-Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (Pra-PTKK) selama tiga hari bermula 3 Februari lalu, sebagai persediaan menghadapi penilaian sebenar Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (PTKK) dalam masa terdekat.

Latihan intensif itu melibatkan dua aset utama Maritim Negeri Selangor iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA dan KM BAGAN DATUK, yang menjadi tulang belakang rondaan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, pelaksanaan Pra-PTKK merupakan langkah kritikal bagi memastikan standard pengoperasian aset serta kompetensi kru sentiasa berada pada tahap terbaik, selaras dengan keperluan operasi semasa yang semakin mencabar.

“Latihan ini bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan teknikal kru kapal, malah menilai aspek pengurusan serta ketahanan mental anggota dalam mendepani pelbagai situasi kecemasan di laut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selain simulasi di lapangan, pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan oleh Pasukan Pra-PTKK Maritim Negeri Selangor melibatkan beberapa komponen utama termasuk semakan dokumentasi bagi memastikan rekod selenggara serta operasi sentiasa dikemas kini, pemeriksaan kelengkapan bagi menjamin peralatan navigasi dan keselamatan berfungsi secara optimum, serta pengujian Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menilai tahap pematuhan kru terhadap protokol keselamatan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, proses Pra-PTKK ini merupakan saringan awal sebelum penilaian penuh dilaksanakan oleh Seksyen Latihan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) yang menjadi penentu tahap kecekapan sebenar aset serta kru.

Sepanjang latihan berlangsung, seluruh kru menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi serta komitmen luar biasa, sekali gus mencerminkan profesionalisme Maritim Malaysia dalam melaksanakan amanah sebagai benteng keselamatan perairan negara.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap aset dan anggota sentiasa berada pada tahap “siap siaga”, bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan perairan negara khususnya di perairan negeri itu.

PTKK SEL2
 
PTKK SEL4
 
PTKK SEL5
 
PTKK SEL7

TINDAKAN PANTAS MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC SELAMATKAN KRU KAPAL DAGANG DI PERAIRAN LUMUT

LUMUT, 5 FEBRUARI – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) berjaya menyelamatkan seorang kru kapal dagang yang cedera selepas terjatuh di atas kapal kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Dua, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim (POMAR) Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.52 pagi yang memaklumkan seorang kru lelaki warga India berusia 54 tahun mengalami kecederaan pada kaki, leher dan muka di atas kapal MV ARTENOS akibat terjatuh.

Susulan maklumat itu, Bot PERKASA 1223 segera diatur gerak ke lokasi sebelum mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke daratan.

Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Pantai Seri Manjung.

Sementara itu Mohamad Shukri menegaskan, setiap panggilan kecemasan di laut akan diberi keutamaan tanpa mengira lokasi atau kewarganegaraan mangsa.

“Kecekapan anggota dan kesiapsiagaan aset membolehkan bantuan disalurkan segera. Keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar segera melaporkan sebarang kecemasan melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil.

 

MEDIVAC LUMUT2
 
MEDIVAC LUMUT3

KAPAL TANGKI, BOT PANCUNG TANPA LESEN DICEKUP DI PERAIRAN SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot pancung dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan kapal tangki itu dibuat kira-kira pukul 12.30 tengah malam hasil pemantauan radar Area Control Centre (ACC) Klang sebelum sebuah bot ronda digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya Kuala Sungai Besar.

Ujar beliau, kapal berkenaan dikendalikan seorang kapten warga China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh berusia antara 24 hingga 52 tahun.

“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh. Kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Beliau turut berkata, perintah penahanan telah dikeluarkan dan kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan kira-kira pukul 5.10 petang di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” katanya.

Tambah Abdul Muhaimin, bot dan individu terbabit diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti haram di perairan Selangor.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera.

TANGKI SEL2
 
TANGKI SEL3
 
TANGKI SEL4




More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON