KUALA KURAU, 27 MAC – Aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan bubu naga di perairan Kuala Kurau berjaya digagalkan apabila sebanyak 40 unit peralatan itu dirampas dalam operasi penguatkuasaan oleh Zon Maritim Kuala Kurau, kira-kira 7.8 batu nautika ke arah barat Kuala Kurau hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati kesemua bubu naga tersebut disyaki digunakan bagi aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah iaitu melibatkan penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan di bawah Akta Perikanan 1985.
Tambah beliau, penggunaan peralatan berkenaan bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi menjejaskan ekosistem marin serta memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan tempatan yang mematuhi undang-undang.
“Tiada individu atau kru ditemui di lokasi semasa operasi dijalankan. Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” kata beliau lagi.
Tegasnya, pendekatan berterusan itu penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara tidak terus terjejas akibat kegiatan tidak bertanggungjawab.
Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot aktiviti penangkapan ikan secara haram.












