23
Thu, Apr

DUA KAPAL TANGKI DITAHAN, DISYAKI JALANKAN BUNKERING SERTA BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN NEGARA

LUMUT, 24 MAC – Maritim Negeri Perak berjaya menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (bunkering) tanpa kebenaran dalam kawasan perairan negara, menerusi Op SAYONG 1/2018, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op KHAS PAGAR LAUT 1/2026, pada petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 8.00 malam, di kedudukan kira-kira 11 batu nautika Timur Pulau Jarak setelah penggeledahan serta pemeriksaan menyeluruh yang dilakukan.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal tangki berkenaan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (bunkering) tanpa kebenaran serta bersauh di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Minyak tersebut adalah jenis Marine Fuel Oil (MFO) dan dianggarkan berjumlah kira-kira 750 metrik tan yang dipercayai telah dipindahkan ke kapal tangki berkenaan.

Kedua-dua kapal telah ditahan dan diarahkan bersauh di kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika Timur Pulau Jarak bagi tujuan penyerahan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak dengan bantuan pemantauan radar oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

Kesemua mereka telah diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 serta peruntukan berkaitan di bawah peraturan Jabatan Laut Malaysia kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (bunkering) tanpa kebenaran dan bersauh di kawasan yang tidak dibenarkan.

Maritim Negeri Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.

Aktiviti bunkering tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang telah diperuntukkan.

 

BUNKERING LUMUT
 
BUNKERING LUMUT5
 
BUNKERING LUMUT3
 
BUNKERING LUMUT6

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON