23
Thu, Apr

NELAYAN HILANG DITEMUKAN TERDAMPAR, MENINGGAL DUNIA

MERSING, 30 MAC - Seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di perairan Tanjung Leman malam semalam ditemukan meninggal dunia oleh penduduk kampung di Pantai Tanjung Rhu, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin memaklumkan, terdahulu pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.25 malam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru susulan aduan dibuat oleh adik mangsa menerusi talian kecemasan 999.
“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) digerakkan segera sebaik maklumat diterima bagi memastikan pencarian dilaksanakan secara pantas dan berkesan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat rakan mangsa, lelaki berkenaan dipercayai terjatuh ke laut ketika melakukan aktiviti menjaring ikan.
Komander Maritim Suhaizan turut berkata, bot milik mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tersangkut pada jaring tanpa kehadiran mangsa di lokasi kejadian.
Susulan itu, tim darat Op JAKSA / Op TIRIS 3.0 Zon Maritim Mersing digerakkan ke lokasi berikutan keadaan air surut serta kawasan berbatu bagi melaksanakan pencarian awal di sekitar pesisir pantai Tanjung Rhu.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Shah Mohd Yasin, 41, ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 2 pagi dalam keadaan terdampar dan disyaki telah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Komander Maritim Suhaizan menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut termasuk memakai peralatan keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Darat Malaysia atas kerjasama dalam operasi berkenaan.

NEL HLG MER
 
NEL HLG MER3
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON