08
Tue, Sep

DUA BOT BERSAMA 1,870 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

SANDAKAN, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua buah bot dalam satu operasi di perairan Kampung Bokara Lama, Sandakan awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Mengulas kejadian tersebut beliau berkata, anggota penguat kuasa telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot berkenaan menemukan sejumlah 1,870 paket minyak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan tanpa permit yang sah

Kedua-dua bot dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot beserta enjin dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50 ribu.

Sementara itu Muhamad Suhairy turut berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera.



MINYAK SANDAKAN2

KAPAL KARGO TEMPATAN GAGAL KEMUKA DOKUMEN DITAHAN

MIRI, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal kargo tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kapal berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.05 petang semalam di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Kuala Lawas.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru, terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan empat warga Myanmar, yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 56 tahun,” katanya.

Tambah beliau, susulan kesalahan yang dikesan, perintah tahanan telah dikeluarkan dan master bersama seorang kru telah diiring kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.

MIRI KARGO2

MARITIM NEGERI KELANTAN TAHAN VESEL NELAYAN TEMPATAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

PASIR PUTEH, 28 FEBRUARI – Maritim Negeri Kelantan telah berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C yang menggunakan peralatan jenis pukat jerut dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di kawasan perairan berhampiran Pulau Perhentian Besar, pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, vesel berkenaan mempunyai seramai 18 orang kru yang terdiri daripada lapan orang warganegara Malaysia termasuk tekong serta 10 orang warganegara Thailand.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, iaitu menggaji kru asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh.

Selain itu,vesel tersebut juga disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika dari daratan, yang merupakan satu pelanggaran terhadap syarat lesen bagi vesel Kelas C.

Kesemua kru telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut, manakala vesel bersama peralatan menangkap ikan telah dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada unit siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Negeri Kelantan akan terus meningkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan perairan dan kelestarian sumber perikanan negara.

Maritim Malaysia menyeru agar semua pengusaha bot nelayan agar sentiasa memastikan dokumen kru adalah sah dan mematuhi semua syarat lesen yang ditetapkan, bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dan memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara bertanggungjawab serta selamat.

KELATAN VESEL
 
KELATAN VESEL3
 
KELATAN VESEL4

MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA BOT LAKUKAN KESALAHAN DI PERAIRAN TAWAU

TAWAU, 26 FEBRUARI – Dua bot ditahan dalam tempoh kurang sejam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam operasi awal pagi tadi selepas dikesan melanggar syarat lesen serta membawa muatan tanpa permit sah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, tindakan berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa Maritim Malaysia ketika menjalankan OP SEJAHTERA, OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS di perairan selatan Batu 3, Tawau.

Kata beliau, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.00 pagi melibatkan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang dikesan menunda pukat pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari daratan, iaitu kira-kira 1.7 batu nautika selatan Batu 3.

Pemeriksaan awal mendapati, empat kru lelaki warga Indonesia berusia antara 34 hingga 44 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen perikanan yang sah. Namun, semakan lanjut mendapati, vesel berkenaan melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di bawah jarak yang dibenarkan.

Tidak sampai sejam kemudian, sebuah bot kargo pula ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika selatan Batu 3 selepas juragan tempatan berusia 27 tahun gagal mengemukakan permit membawa 12 tong gas petroleum cecair (LPG) berisi.

Hasil pemeriksaan mendapati, nama juragan terbabit tiada dalam daftar lesen bot, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan pihak berkuasa.

Kesemua individu bersama bot dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot, enjin dan muatan dianggarkan hampir RM85 ribu.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.

“Operasi penguatkuasaan akan dipertingkat khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan sentiasa terpelihara,” tegasnya.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

TAWAU LESEN2
 
TAWAU LESEN3

BOT TUNDA DITAHAN ZON MARITIM MIRI LAKUKAN KESALAHAN ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR

MIRI, 27 FEBRUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah vesel tunda yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, semasa pemeriksaan rutin di perairan Lawas, semalam.

Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, penahanan itu dibuat pada sekitar pukul 1.05 petang, di kedudukan lebih kurang 2.5 batu nautika utara Kuala Lawas, oleh Kapal Maritim ketika rondaan OP PERMAI 01/19 dan OP TIRIS 3.0.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel tunda berkenaan gagal mengemukakan dokumen Domestic Shipping Licence (DSL) yang sah ketika pemeriksaan dan tidak mengibarkan National Ensign Flag (Jalur Gemilang) semasa beroperasi, yang menjadi satu kesalahan di bawah MSO 1952.

Vesel tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama dua kru warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah MSO 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang memperuntukkan denda, kompaun atau tindakan lain yang sewajarnya.

Beliau turut menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua vesel mematuhi undang-undang perkapalan serta menjamin keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta untuk menghubungi talian kecemasan Maritim Malaysia 999, atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.

 

TUNDA MIRI2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON